MENURUT laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) 2020, dianggarkan satu dalam 36 kanak-kanak di dunia menghidap gangguan spektrum autisme (ASD).
Di Malaysia, jumlah kanak-kanak autistik yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meningkat sebanyak 12,360 dalam tempoh setahun dari 2022 hingga 2023. Sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada murid sekolah rendah berbanding prasekolah dan sekolah menengah. Ini mungkin disebabkan kurangnya kesedaran mengenai autisme, menyebabkan murid tersebut lambat didiagnosis atau ibu bapa berada dalam fasa penafian.
Terdapat juga tanggapan masyarakat bahawa kanak-kanak autistik boleh pulih sepenuhnya dan menjadi seperti kanak-kanak tipikal. Akibatnya, apabila kanak-kanak ini mengalami tantrum atau sukar dikawal di tempat awam, ibu bapa sering dianggap tidak pandai mendidik sekali gus menambah cabaran kepada keluarga atau penjaga.
Kanak-kanak yang menghidap ASD dapat dikenali seawal usia enam bulan dengan menunjukkan ciri-ciri seperti kurang interaksi mata, tidak memberi respons kepada bunyi dan tidak menunjukkan ekspresi muka seperti gembira, sedih atau marah. Gangguan ini memberi kesan langsung kepada interaksi sosial, komunikasi serta tingkah laku kanak-kanak tersebut.
Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak autistik sering menghadapi tekanan dari segi kewangan, emosi dan fizikal. Kos terapi yang tinggi menyebabkan ramai kanak-kanak autistik, terutama dari keluarga berpendapatan rendah tidak mendapat akses kepada intervensi yang diperlukan.
Namun, terdapat alternatif intervensi yang boleh dilakukan dengan kos rendah, iaitu melalui amalan fardu ain bagi kanak-kanak Muslim.
Amalan fardu ain seperti solat dan wuduk dapat membantu kanak-kanak ini meningkatkan fokus kerana mereka cenderung bergantung kepada rutin yang tetap. Pergerakan solat dan wuduk yang berulang kali dapat membantu mereka mengatur emosi dan mengurangkan tingkah laku impulsif. Amalan ini juga dapat menyumbang kepada perkembangan memori jangka panjang mereka.
Bacaan al-Quran dalam solat dapat membantu kanak-kanak autistik menguasai bahasa. Solat berjemaah bersama keluarga atau rakan sebaya juga memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara sosial dalam keadaan terkawal. Dengan membiasakan diri dengan rutin ini, mereka boleh menjadi lebih tenang, kurang cemas dan membangunkan disiplin dalam kehidupan seharian.
Walaupun solat boleh menjadi satu bentuk intervensi, terdapat beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian seperti gangguan sensori, kesukaran dalam pergerakan dan kesukaran dalam fokus.
Oleh itu, intervensi ini boleh dimulakan dengan menggunakan air suam semasa wuduk dan membenarkan mereka memilih pakaian solat atau sejadah. Pengenalan kepada wuduk juga boleh dilakukan secara berperingkat, misalnya dengan hanya membasuh muka terlebih dahulu sebelum memperkenalkan rukun yang lain.
Mereka juga boleh dilatih untuk melakukan pergerakan solat secara beransur-ansur. Solat dengan bersandar pada dinding boleh membantu memberikan sokongan tambahan kepada badan mereka.
Membaca bersama mereka atau menggunakan al-Quran digital juga boleh membantu meningkatkan fokus mereka.
Peranan pelbagai pihak dalam menyediakan akses kepada penjaga seperti sesi latihan, teknik pengurusan tingkah laku, dan penyediaan rutin harian yang lebih berstruktur amat penting. Solat boleh menjadi intervensi alternatif yang berkesan dalam membantu perkembangan kanak-kanak autistik agar mereka dapat mencapai potensi maksimum. Intervensi ini juga merupakan salah satu terapi kerohanian yang turut dijalankan di Permata Kurnia. – UTUSAN
ADRIANA KHAIRIN KHAIRUDDIN & DR. NUR FAZIDAH ASMUJE
Universiti Sains Islam Antarabangsa (USIM)










