KANGAR: Kewujudan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) khas untuk kanak-kanak autisme yang pertama di Perlis banyak membantu kepada perubahan diri kanak-kanak istimewa berkenaan.
Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) Tunas Istimewa (TTI) di Kuala Perlis di sini mula beroperasi sejak Januari lalu dan kini mempunyai lapan murid berusia lima dan enam tahun.
Tabika khas berkenaan dikendalikan oleh dua orang guru iaitu Dalila Diyana Sazali,38, yang juga mempunyai tiga anak autisme dan Kasmilia Kasim, 37, beserta seorang pembantu.
Dalila berkata, setiap hari, kanak-kanak berkenaan akan melalui pelbagai rutin di kelas yang selesa selain proses pembelajaran mengikut silibus pendidikan khas autisme dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
Katanya, kanak-kanak tersebut juga ditekankan dengan aspek pengurusan diri serta akademik seperti membaca serta menulis selain disediakan pelbagai aktiviti menarik setiap hari.
Katanya, selain ruang belajar, tabika berkenaan juga mempunyai bilik terapi ketenangan yang menjadi antara paling digemari murid-murid ini.
“Alhamdulilah, dalam tempoh empat bulan pertama ini sudah nampak perubahan dalam kalangan anak-anak autisme ini.
“Antaranya, sudah mampu menguruskan diri, mengikut rutin harian, mengawal emosi serta ada yang sudah boleh membaca dan menghafal surah al-Fatihah.
“Saya menyasarkan apabila memasuki alam persekolahan nanti, kanak-kanak ini sudah mampu membaca, menulis dan menguruskan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Pengarah Kemas negeri, Mohamad Zaki Ismail berkata, tabika khas berkenaan merupakan perintis dan akan diperluaskan di setiap Parlimen selepas ini.
Katanya, kapasiti bagi tabika khas kanak-kanak autisme yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu adalah seramai 14 murid.
“Ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak ke tabika tersebut hanya perlu mendapat pengesahan hospital anak mempunyai autisme. Yuran pula serendah RM100 sebulan.
“Selepas ini, kita sasar memperluaskan TTI di kawasan Parlimen Arau dan Padang Besar. Kemudahan tabika berkenaan sememangnya sangat membantu kepada perkembangan anak-anak autisme ini,” katanya. – UTUSAN











