SHAH ALAM: Ibu kepada Allahyarham Zayn Ryyan Abdul Matin, Ismanira Abd. Manaf didakwa gagal mengemukakan kepada Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini keterangan daripada pakar perubatan yang mendakwa anak keduanya turut menghidap masalah autisme.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin selaku pemohon membantah hujahan yang dikemukakan oleh pemohon yang diwakili peguam Haresh Mahadevan.
“Pemohon juga gagal mengemukakan keterangan doktor pakar atau doktor yang menunjukkan anak ini berada dalam keadaan tidak stabil atau tidak sihat. Sepatutnya satu afidavit dikemukakan untuk pertimbangan dan menyokong hujahan itu,” katanya.
Ini kerana, pemohon dalam hujahan bagi permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Ismanira, 30, menyatakan alasan anak keduanya yang autistik wajar dipertimbangkan.
Malah, Mahadevan menjelaskan anak lelaki berusia enam tahun itu kini berada di bawah jagaan suaminya, namun memerlukan perhatian dan sokongan emosi berterusan daripada ibu.
Menurutnya, laporan pakar Dr. Noor Aishah Rosli menyatakan kanak-kanak itu mengalami tekanan emosi ketara akibat berpisah dengan ibu bapanya lebih setahun.
“Suami Ismanira terpaksa membawa anak mereka ke Penjara Kajang setiap dua bulan untuk melawat ibunya. Namun, prosedur yang hanya membenarkan pertemuan melalui papan kaca tanpa sentuhan fizikal tidak sesuai untuk seorang anak autistik.
“Sentuhan fizikal penting untuk kestabilan emosi dan komunikasi,” jelasnya kepada Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Disember untuk keputusan permohonan tersebut. – UTUSAN










