FBMKLCI dijangka bergerak dalam julat 1,720-1,730 mata

FBMKLCI dijangka bergerak dalam julat 1,720-1,730 mata

BURSA Malaysia menunjukkan prestasi yang stabil dan berada di atas 1,700 mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,720 hingga 1,730 mata minggu ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran global masih dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik, khususnya konflik di Iran serta kesannya terhadap harga bahan api dunia.

“Walaupun terdapat ketidaktentuan tersebut, sektor teknologi dilihat memberikan sokongan positif kepada sentimen pasaran. 

“Perkembangan berterusan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) telah meningkatkan keyakinan pelabur. Sebagai contoh, Intel memberi panduan bahawa hasil syarikat bagi suku kedua tahun kewangan 2026 dijangka berada dalam lingkungan AS$13.8 bilion hingga AS$14.8 bilion, mengatasi jangkaan penganalisis sekitar AS$13 bilion,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Afzanizam, bursa terus menunjukkan prestasi stabil apabila kekal berada di atas paras 1,700 mata sepanjang minggu ini, dengan bacaan semasa pada 1,721.70 mata. 

Dari sudut analisis teknikal, jelasnya, FBMKLCI kini berada dalam zon yang menghampiri terlebih jual (oversold), sekali gus membuka ruang untuk potensi lantunan semula dalam jangka masa terdekat. 

“Paras rintangan utama dilihat pada 1,733.61 mata dan indeks dijangka mencuba untuk menembusi tahap tersebut pada minggu hadapan.

“Tumpuan pelabur juga terarah kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada 30 April,” katanya. 

Selain itu, jelasnya, kebanyakan penganalisis menjangkakan kadar faedah akan dikekalkan pada paras 3.75 peratus. 

“Namun, pasaran akan memberi perhatian rapat terhadap penilaian terkini pihak Fed, khususnya berkaitan inflasi serta impak kenaikan harga bahan api terhadap pertumbuhan ekonomi AS,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, bursa dijangka berpotensi menguji paras 1,750 mata pada minggu hadapan, disokong oleh sentimen pasaran yang semakin pulih susulan perkembangan positif dalam konflik geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat mula menunjukkan tanda-tanda penyelesaian.

“Selain itu, penurunan ketara dalam banyak kaunter sepanjang beberapa minggu lalu telah membuka ruang kepada aktiviti pembelian semula, terutamanya dalam kalangan pelabur tempatan. 

“Keyakinan dilihat kembali meningkat apabila pelabur mula mengambil peluang untuk mengumpul saham-saham terpilih yang mempunyai asas kewangan yang kukuh,” katanya.

Selain itu, jelas Mohd. Rizal, pemerhatian pasaran menunjukkan bahawa minat kini tertumpu kepada syarikat dengan fundamental yang stabil, termasuk aliran tunai yang sihat, tahap hutang terkawal serta keupayaan menjana keuntungan secara konsisten. 

“Pendekatan pelaburan jangka sederhana hingga panjang juga semakin menjadi pilihan, dengan pelabur menyasarkan pulangan dalam bentuk dividen, di samping potensi kenaikan harga saham menjelang hujung tahun,” katanya.

Dalam masa sama, peserta pasaran turut memberi perhatian kepada perkembangan dasar monetari global, khususnya keputusan kadar faedah oleh Fed. 

“Sebarang petunjuk berkaitan inflasi dan hala tuju ekonomi AS dijangka terus mempengaruhi sentimen pelabur global dan domestik,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau berkata, jika sentimen positif ini berterusan dan disokong oleh aliran dana yang kukuh, FBMKLCI berpotensi untuk mencatatkan lantunan lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN