Selepas sekian lama industri hiburan Asia dikuasai Jepun, China dan Korea Selatan, kini muncul gelombang baharu dari Asia Tenggara yang semakin mendapat perhatian dunia.
Antara nama yang mencuri tumpuan ialah kumpulan gadis seksi dan ‘berani mati’ dari Indonesia, No Na, yang dilihat menjadi simbol kebangkitan muzik serantau bersama kumpulan popular lain seperti BINI dari Filipina, 4EVE dari Thailand dan DOLLA dari Malaysia.
Hanya setahun selepas membuat debut bersama label berpangkalan di New York, 88rising, No Na yang dianggotai Esther Geraldine, Baila Fauri, Christy Gardena dan Shazfa ‘Shaz’ Adesya berjaya mencipta pengaruh tersendiri dalam industri muzik global.
Fenomena kebangkitan artis rantau ini turut melahirkan istilah SEAblings gabungan perkataan SEA (Asia Tenggara) dan siblings (adik-beradik), yang menggambarkan solidariti artis Asia Tenggara dalam membawa budaya dan muzik masing-masing ke peringkat antarabangsa.
“Kami sangat bangga dapat mewakili Indonesia dan melihat semakin ramai artis Asia Tenggara mendapat pengiktirafan dunia. Matlamat kami sentiasa untuk memperkenalkan budaya Indonesia secara autentik dan bermakna,” kata kumpulan itu.
Gabungan budaya dan identiti tempatan
Keunikan No Na bukan sekadar terletak pada muzik berinspirasikan R&B dan pop moden, tetapi juga keberanian mereka mengangkat budaya Indonesia dalam setiap karya.
Video muzik pertama mereka menampilkan keindahan Bali termasuk Air Terjun Banyumala dan sawah padi ikonik pulau tersebut. Koreografi mereka pula dipengaruhi unsur tarian tradisional Bali seperti gerakan mata ‘sledet’, selain gerakan tangan dan bahu yang penuh simbolik.
Malah, lagu Work turut menggunakan bunyi alat muzik tradisional Bali, ceng ceng, manakala single terbaharu mereka, Rollerblade, menggabungkan irama dangdut dengan reggaeton dan pop moden.
Lagu tersebut turut memasukkan lirik bahasa Indonesia seperti ‘Jedag jedug, tiga, dua, satu’, sekali gus menonjolkan identiti tempatan dalam karya bercita rasa antarabangsa.
Dalam tempoh beberapa hari selepas dilancarkan pada April lalu, Rollerblade berjaya meraih lebih sejuta tontonan di platform digital.
Dari Asia Tenggara ke pentas global
Perjalanan No Na turut diserikan dengan kemunculan mereka di festival antarabangsa Head in the Clouds di Los Angeles, New York dan Tokyo.
Malah, lagu-lagu mereka turut mendapat perhatian bintang K-pop terkenal seperti Jisoo dan Rei yang berkongsi muzik kumpulan itu di media sosial masing-masing.
Cabaran tarian bagi single Work juga menjadi tular dan disertai artis Korea Selatan seperti Dayoung dan Taeyong.
Bagi No Na, kejayaan tersebut hadir bersama cabaran yang akhirnya mengeratkan hubungan sesama ahli kumpulan.
Industri muzik Asia Tenggara semakin berkembang
Kejayaan No Na turut mencerminkan perkembangan pesat industri muzik Asia Tenggara yang kini semakin mendapat tempat di pasaran global.
Menurut AXEAN Festival, industri muzik rantau ini kini bernilai AS$1.39 bilion dan terus berkembang lebih pantas berbanding purata global.
Indonesia juga mendominasi carta penstriman Spotify Asia Tenggara dengan tujuh artis berada dalam kelompok 10 teratas, termasuk NIKI, Tulus, Hindia dan Rich Brian.
Fenomena ini membuktikan artis Asia Tenggara bukan lagi sekadar pemain sampingan dalam industri hiburan antarabangsa, sebaliknya semakin mampu bersaing di pentas dunia tanpa perlu mengorbankan identiti budaya sendiri.
Bagi No Na dan generasi baharu artis SEAblings, impian mereka cukup jelas, membawa Asia Tenggara melangkah lebih jauh di persada global.










