SEREMBAN: Tindakan dua lelaki tempatan yang menggajikan lapan wanita warga asing tanpa premit yang sah, terbongkar selepas kesemua mereka ditahan dalam operasi ‘Op Noda’ di sekitar Nilai di sini malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Negeri Sembilan dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menyerbu tujuh buah premis di Bandar Baru Nilai, di sini pada pukul 8.50 malam.
“Hasil serbuan di premis tersebut pihak polis menahan lapan orang wanita warga asing berusia 26 hingga 39 tahun dan dua lelaki tempatan lingkungan usia 60 hingga 61 tahun.
“Siasatan awal mendapati lapan wanita warga asing tersebut bekerja tanpa permit yang sah manakala dua lelaki tempatan itu menggajikan pekerja tanpa permit yang sah di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Muhammad Izudin, kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959 dan 1963 serta Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
“Dua orang lelaki tempatan yang ditahan pula disiasat di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin.
“Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas suspek bagi melihat penglibatan suspek terutamanya dalam aktiviti pelacuran di kawasan daerah Nilai,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengurangkan kegiatan tidak bermoral di sekitar Nilai, pihak polis akan membuat pemeriksaan, pemantauan dan serbuan secara berterusan.
“Tindakan tegas tanpa teragak-agak akan diambil ke atas mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Sekiranya terdapat sebarang kegiatan aktivi pelacuran, orang awam boleh salurkan maklumat kepada balai polis yang berhampiran atau talian 018- 6495106,” katanya.










