Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka kekal 3-5% tahun ini

Pertumbuhan eksport Malaysia dijangka kekal 3-5% tahun ini

REEZAL Merican Naina Merican (kiri) pada sidang media mengenai Kemas Kini Perdagangan Malaysia Suku Pertama 2026 di pusat konvensyen Matrade di sini, semalam- UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan eksport dan perdagangan pada kadar sederhana antara tiga hingga lima peratus tahun ini, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, unjuran tersebut masih realistik buat masa ini, namun tidak menolak kemungkinan berlakunya perubahan sekiranya krisis global semakin meruncing. 

“Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk potensi krisis tenaga dan kemungkinan kemelesetan ekonomi global.

“Jika berlaku kemelesetan global, kesannya bukan sahaja kepada satu negara, tetapi seluruh dunia. 

“Penurunan kuasa beli akibat inflasi, misalnya sehingga 20 peratus boleh menjejaskan permintaan terhadap eksport Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai prestasi perdagangan bagi suku pertama di sini, semalam.

Walaupun terdapat kebimbangan awal, jelasnya,  prestasi perdagangan pada bulan Mac akan merosot, data sebenar menunjukkan hasil yang lebih baik daripada jangkaan. 

“Perkembangan ini memberikan petunjuk awal bahawa ekonomi Malaysia masih mempunyai daya tahan dalam jangka pendek.

“Namun begitu, pihak berkuasa mengakui keadaan boleh berubah dengan cepat sekiranya ketegangan ekonomi global meningkat. 

“Dalam situasi tersebut, dasar dan program eksport sedia ada mungkin perlu dikaji semula bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa,” katanya. 

Tahun lalu, sebanyak 339 program dasar eksport telah dilaksanakan melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat lain, dengan nilai keseluruhan melebihi RM140 bilion. 

Usaha ini mencerminkan pendekatan kerajaan untuk mengukuhkan daya saing eksport melalui kerjasama pelbagai pihak.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak RM60 bilion telah diperuntukkan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa. 

“Namun, cabaran utama yang dihadapi sektor ini adalah tekanan terhadap modal kerja,” katanya. 

Menurut beliau, kira-kira 74.5 peratus PMKS kini berdepan masalah aliran tunai, berpunca daripada pembatalan tempahan dan permintaan tempoh kredit yang lebih panjang, sehingga enam bulan. 

“Keadaan ini berpotensi mengganggu operasi dan kesinambungan perniagaan mereka,” katanya. 

Pihak berkaitan turut memaklumkan bahawa beberapa langkah sokongan tambahan mungkin sedang dipertimbangkan, termasuk inisiatif di bawah agensi tertentu bagi membantu memperkukuh kedudukan kewangan PMKS dalam tempoh mencabar ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN