Gabung akademik, kokurikulum dan tahfiz resipi kejayaan Aiyra

Gabung akademik, kokurikulum dan tahfiz resipi kejayaan Aiyra

Aiyra Al Nisreena mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Maharajan Amal Islam Sriti (MAIS)Peringkat Negeri Selangor 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Idola saya ialah ayah. Beliau selalu menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi diri saya. Pada masa sama ayah juga merupakan seorang guru besar di sekolah saya, Sekolah Rendah Intergrasi Teras Islam ( SRITI ) Darul Furqan, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.”

Aiyra atau nama lengkapnya Aiyra Al Nisreena Mohd Addreen, 13, berkata, meski pun mempunyai ikatan kekeluargaan namun dia dan ayahnya mengimbangi profesionalisme apabila keberadaan di sekolah.

“Saya memanggil ayah (sebagai) ustaz. Saya perlu mematuhi segala peraturan sekolah sama seperti pelajar lain. Saya tidak mendapat sebarang layanan istimewa. Itulah larangan keras ayah kepada saya. Ada kalanya saya terlupa bahawa guru besar sekolah adalah ayah saya sendiri,” katanya.

Menurut Aiyra Al Nisreena lagi, ayahnya selalu menitipkan pesanan supaya menjadi pelajar berdisiplin. Disebabkan itu, dia belajar berdikari tanpa dibayangi kedudukan ayahnya. Paling penting baginya adalah menghormati kesemua guru demi memperoleh keberkatan ilmu yang dipelajari termasuk menjaga hubungan baik bersama rakan rakan.

“Di sekolah, ayah terkenal dengan sifat penyabar , berdedikasi dan tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya. Saya melihat sendiri jatuh bangun penat lelah jerih perit ayah bersama pasukannya demi memajukan sekolah biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan.

“Disebabkan itu saya mahu menjadi seorang insan hebat dan luar biasa seperti ayah. Namun keutamaan ialah mencari keredhaan Allah SWT terlebih dahulu,” ujarnya.

Selama menimba ilmu enam tahun lalu, anak sulung daripada tiga beradik ini memuji kaedah pelaksanaan silibus di sekolah itu.

 

 

 

“Gabungan kombinasi jitu antara kokurikulum, akademik, diniyah, tahfiz, pemantapan hafazan al-Quran dan fardu ain. Selain itu turut diberikan penekanan kepada asas pembentukan minda dan akhlak islamiah serta tarbiyah.

“Bahkan saya turut belajar tentang pembangunan sahsiah, adab dan nilai agama untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Katanya, suasana pendidikan dan pembelajaran semakin berkembang dan banyak perbezaan berbanding dahulu. Hampir kesemua sekolah di seluruh negara lebih banyak menggunakan pendekatan moden di dalam kelas untuk memantapkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Di Darul Furqan, warga pendidik juga tidak ketinggalan mengaplikasikan bahan bantu mengajar menerusi kaedah teknologi bahan digital seperti visual , animasi kreatif menarik dan mudah difahami,” katanya.

Selain itu, perbincangan dua hala, kuiz dan aktiviti berkumpulan turut diadakan dalam kelas yang tidak hanya tertumpu menyalin nota semata-mata.

 

 

Menurut Aiyra Al Nisreena lagi, perubahan arus perdana itu mampu memberi impak positif dalam diri pelajar asalkan tidak berlebih-lebihan namun bergantung situasi, persekitaran dan masa bersesuaian.

Sejak kebelakangan ini sekolah aliran agama dilabel pelbagai gelaran tertentu dan dipandang negatif susulan beberapa isu isu panas yang tular di platform media sosial.

Baginya, setiap institusi pendidikan sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, menengah mahu pun universiti akan ada cabaran dan isu tersendiri.

Bahkan, Aiyra Al Nisreena meminta isu-isu panas yang timbul itu tidak semestinya mewakili keseluruhan sekolah aliran agama.

Yang pentingnya katanya, adalah bagaimana pihak pentadbiran sekolah, guru dan pelajar berusaha menambah baik keadaan, menjaga sensitiviti nilai dan memperkukuhkan serta memantapkan institusi pendidikan. Dia percaya kebanyakan sekolah beraliran agama berusaha sedaya upaya mungkin membentuk pelajar yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

Bagaimana pun, ibu bapa perlu memainkan peranan penting serta cakna dalam menjaga kemaslahatan membabitkan aspek kerohanian dan mental moral anak-anak mereka sendiri.

“Setiap aliran pendidikan ada kelebihan tersendiri.

“Insitusi pendidikan perlu beberapa resolusi antaranya pihak sekolah diharapkan penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur supaya suasana pembelajaran lebih selesa dan selamat.

“Contohnya dari segi keselamatan dan Tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, malahan dari segi sahsiah, kepimpinan dan keyakinan diri,” katanya.

Anak kepada pasangan Mohd Al-Addreen Akhirrudin dan Amirah Alwani Abd Hadi sering memperoleh keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan, aktif dalam bidang kokurikulum.

 

Dia juga mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan sehingga ke peringkat kebangsaan selain menjawat beberapa jawatan penting termasuk sebagai penolong ketua pengawas sekolah.

Disebabkan faktor tersebut, Aiyra Al Nisreena merangkul Anugerah Tokoh Kokurikulum peringkat SRITI Selangor, Tokoh Kokurikulum peringkat SRITI Kawasan Bangi dan Anugerah Ketua Pengakap Negara Rambu Biru Pengakap Kanak-Kanak.

Ditanya mengenai petua kejayaannya, kongsi Aiyra Al Nisreena sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah, ibu bapa, guru guru, rakan dan diri sendiri.

“Kebiasaannya saya akan menyusun jadual sendiri supaya tidak kelam-kabut.

“Saya akan pastikan kerja sekolah dan ulang kaji siap terlebih dahulu. Kemudian barulah saya fokuskan aktiviti kokurikulum.

“Kalau ada sesi latihan atau pertandingan, saya akan cuba memanfaatkan masa lapang dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, saya masih mampu mengimbangi kedua-duanya walaupun adakalanya saya kepenatan.

“Falsafah hidup saya adalah terus berusaha dan jangan berhenti berdoa.

“Saya percaya, kalau kita berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa berdoa, Allah akan permudahkan jalan kita. Selain itu kunci kebahagiaan seorang Muslim ialah solat kerana melalui solat, kita akan dapat merasai diri sebagai Hamba Allah,” katanya penuh berhikmah.

Aiyra Al Nisreena kini telah menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, Perak. Selain bercita-cita untuk menjadi tentera udara, dia turut menyimpan hasrat untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran dan memberi sumbangan dalam bidang agama, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN