SEREMBAN: Masalah kekurangan pekerja yang kritikal sehingga menyebabkan operasi hotel-hotel terjejas turut berpunca daripada kesukaran majikan mendapatkan pekerja-pekerja sambilan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, sebelum ini, kehadiran pekerja-pekerja sambilan dapat menampung isu kekurangan pekerja namun tidak lagi berlaku ketika ini.
Menurutnya, Ia berikutan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang lazimnya mengisi tugas tersebut belum atau lewat memasuki tempat pengajian masing-masing.
Ujarnya, ketiadaan penuntut mengambil jurusan perhotelan yang selalunya menjalani latihan amali di hotel menyumbang kepada masalah tersebut.
“Biasanya hotel-hotel terutama pada hujung minggu turut dibantu pekerja part-time (sambilan) dalam kalangan pelajar-pelajar kolej termasuk pelajar yang menjalani latihan amali.
“Namun mereka ini belum lagi kembali ke kolej masing-masing, jadi sedikit sebanyak ia menjejaskan operasi kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, industri perhotelan tempatan kini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal sehingga menjejaskan operasi sejak sektor itu dibuka semula kepada orang ramai pada 11 Oktober lalu.
Sementara itu, Haziz berkata, pengurusan hotel sentiasa membuka peluang dengan menawarkan peluang pekerjaan sambilan kepada mana-mana individu yang berminat termasuk dengan meningkatkan kadar gaji bagi setiap jam, namun sambutan diterima juga dingin.
“Kadar gaji yang ditawarkan ditingkatkan iaitu sehingga RM9 sejam mengikut hotel namun tidak ramai yang berminat sehinggakan masalah ini terus berlarutan.
“Bagi mengatasi perkara ini, ada hotel yang meminta pekerja-pekerja mereka di bahagian pengurusan untuk membantu di bahagian perkhidmatan lain. Pengurusa hotel terpaksa melakukan seperti itu,” katanya.
Tambahnya, pengurusan hotel kini menunggu pekerja-pekerja asing kembali dibenarkan masuk ke negara ini bagi menampung tugas-tugas pembersihan dan landskap.-UTUSAN ONLINE










