SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki mendakwa tindakannya membangkitkan isu ternakan babi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam adalah membawa isu berkaitan rakyat.
Beliau berkata, walaupun ia mencetuskan polemik dalam kalangan ADUN Selangor dan pemimpin parti politik lain, itu adalah tanggungjawab yang diambil sebagai wakil rakyat.
“Ia adalah tanggungjawab saya menjadi ADUN. Jadi, kita bawa apa-apa isu yang berkaitan rakyat ke (sidang DUN),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Siew Ki menegaskan isu penternakan babi di Selangor tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain.
Beliau berkata, risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti dihadapi oleh penternakan haiwan lain.
Malah, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH)-DAP itu menjelaskan ia mempunyai kaitan dengan hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Siew Ki menegaskan beliau bersedia menerima sahaja hukuman atau tindakan yang bakal diambil ke atas dirinya, termasuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Apa yang saya nak cakap itu, saya sudah cakap dalam dewan. Yang lain itu bukan tanggungjawab saya. Jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut berhubung isu ini,” ujarnya
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Klang) menggesa Siew Ki dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor susulan kenyataannya berhubung isu ternakan babi di negeri ini.
Beliau berkata, ADUN itu wajar dirujuk susulan tindakannya sebagai salah seorang ahli daripada parti kerajaan mengingkari titah Sultan Sharafuddin Idris Shah. – UTUSAN










