MoU pembantu rumah Indonesia bakal dimuktamad akhir tahun - Utusan Malaysia

MoU pembantu rumah Indonesia bakal dimuktamad akhir tahun

AWANG HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka dapat memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan isu penggajian pembantu rumah dari Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, draf mengenai perkara itu sedang giat diteliti antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

“Insya-Allah, memang dalam perancangan dan kita pun amat berharap supaya MoU ini dapat segera dimeterai secara rasmi pada hujung bulan depan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu beliau mewakili Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan melancarkan empat judul buku terbitan JTKSM yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Asri Ab. Rahman, meliputi Buku Panduan Penginapan Pekerja Di Bawah Akta 446, Pelan Strategik JTKSM 2021-2025, Handbook Akta Kerja 1955 dan Handbook Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan MoU berkenaan dijangka boleh diselesaikan antara kedua-dua negara berjiran itu dalam masa terdekat.

Memorandum tersebut turut meliputi isu pengambilan dan perlindungan untuk warga republik itu yang bekerja sebagai pembantu rumah atau dirujuk pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

Inisiatif berkenaan hasil pertemuan rasmi antara beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta bersempena dengan lawatan kerja sulung ke negara jiran tersebut.

Awang menjelaskan, kelewatan dalam proses penyiapan MoU itu disebabkan ada beberapa strategi baharu yang perlu dimasukkan sebelum dimuktamad.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh dedah apakah strategi itu kerana ia masih lagi dalam peringkat perbincangan rapi antara dua kementerian sebelum kita boleh meterai kelak,” jelasnya.

Menyentuh sambutan terhadap aplikasi digital Working for Workers (WFW), beliau berkata, setakat semalam, sejumlah 11,435 aduan sudah diterima kementerian itu dari seluruh negara dengan sebahagian besar melibatkan aduan pekerja tidak dibayar gaji dan majikan mengambil kesempatan menindas pekerja.

Aplikasi canggih itu dilancarkan pada 3 Mei lalu oleh Saravanan bersempena sambutan Hari Pekerja 2021 peringkat kebangsaan dengan mengandungi sebanyak 17 kategori aduan.

Wadah inovatif berkenaan memberi manfaat kepada sejumlah 15.7 juta pekerja di seluruh negara termasuk warga asing bagi menangani isu ketidakadilan layanan kebajikan mereka. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN