Mohd. Puad gagal ketepi perintah injunksi - Utusan Malaysia

Mohd. Puad gagal ketepi perintah injunksi

Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) berbual dengan para peguamnya di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas keputusan permohonan untuk mengetepikan perintah injunksi terhadapnya. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi gagal mengetepikan perintah injunksi interim sebelah pihak (ex parte) yang menghalang beliau menerbitkan semula kenyataan berunsur fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perintah kuarantin.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini turut menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk mendapat perintah lanjutan injunksi interim kedua-dua pihak (inter partes) bagi menghalang Mohd. Puad menerbitkan semula kenyataan itu dalam laman Facebook.

Kedua-dua permohonan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril selepas mendengar penghujahan peguam-peguam kedua-dua belah pihak pada 21 Oktober lalu.

Hakim Mohd. Firuz memutuskan demikian selepas berpuas hati, perintah injunksi terhadap Mohd. Puad tidak perlu diketepikan kerana beliau sudah mematuhi perintah supaya memadam kenyataan yang dipertikai yang dibuat dalam Facebook miliknya.

“Akhir sekali, kenyataan yang dipertikai itu sudah dipadam jadi saya tidak cenderung untuk membenarkan permohonan untuk mengetepikan injunksi tersebut,” ujarnya ketika menyampaikan keputusannya.

Beliau turut berpendapat, keputusan itu bukan pengakhiran kepada Mohd. Puad (defendan) kerana mahkamah mempunyai kuasa memberikan ganti rugi kepadanya jika beliau berjaya pada pengakhiran tuntutan saman tersebut.

Sehubungan itu, perbicaraan kes saman Muhyiddin terhadap Mohd. Puad akan diteruskan dan didengar di hadapan Hakim Hayatul
Akmal Abdul Aziz kerana beliau akan berpindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan secara dalam talian pada 9 Disember ini.

Pada prosiding itu, Muhyiddin diwakili peguam-peguam Rosli Dahlan dan Datuk D.P Naban manakala Mohd. Puad diwakili oleh G. Rajasingam dan Shahrul Fazli Kamarulzaman.

Rosli ketika ditemui pihak media sejurus kes selesai menjelaskan, oleh kerana kenyataan tersebut telah dipadam dan defendan tidak mengulanginya, isu yang akan ditentukan pada peringkat perbicaraan adalah berhubung ganti rugi.

Menurut beliau, pada peringkat itu, Muhyiddin telah berjaya mencapai objektif awal bagi mendapatkan injunksi menghalang Mohd. Puad menerbitkan semula kenyataan tersebut.

Sementara itu, Rajasingam turut memberitahu, permohonan anak guamnya untuk mengetepikan injunksi ex parte ditolak kerana ia telah luput dan hanya berkuat kuasa selama 21 hari.

Pada 1 Mac lalu, mahkamah yang sama mengeluarkan perintah injunksi serupa terhadap Puad, yang hanya berkuat kuasa selama 21 hari dari tarikh ia dikeluarkan.

Pada 12 Mac pula, bekas Perdana Menteri memperoleh perintah injunksi ad-interim bagi menghalang Mohd. Puad daripada memuat naik hantaran di Facebook.

Muhyiddin selaku plaintif atas kapasiti peribadinya menyaman Mohd. Puad (defendan) pada 1 Mac lalu yang mendakwa, pada 9 Februari lalu beliau telah menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama ‘Dr. Puad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Dalam saman itu, Muhyiddin mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Beliau mendakwa, hantaran itu merujuk kepada `PM’ iaitu singkatan kepada Prime Minister atau Perdana Menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.

Muhyiddin mendakwa, perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang daripada lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.

Bekas Perdana Menteri mendakwa, akibat hantaran tersebut, penyataan fitnah itu juga diterbitkan oleh beberapa portal berita termasuk Sinar Harian dan MalaysiaGazette.

Beliau juga mendakwa, Mohd. Puad sekali lagi pada 21 Februari lalu telah menerbitkan hantaran ketiga bertajuk `Bila Lagi Muhyiddin ke Luar Negara’ manakala satu lagi hantaran diterbitkan oleh defendan bertajuk `Sudikah Muhyiddin Berdebat?’ di Facebook serupa pada 23 Februari.

Menurut plaintif, pada 9 Februari lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengeluarkan kenyataan media bagi menafikan secara mutlak hantaran yang dipersoalkan defendan.

Pejabat itu menjelaskan Muhyiddin telah diberikan Perintah Pengawasan Di Rumah, dipakaikan gelang pengawasan sejak kepulangannya dari Jakarta, Indonesia pada 5 Februari lalu serta menjalani kuarantin di rumah. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya