NEW DELHI: Kemarahan awam tercetus di India selepas lebih 400,000 pelajar memohon salinan kertas jawapan dan skrip peperiksaan mereka susulan dakwaan kesilapan pemarkahan dalam ujian sekolah menengah utama negara itu.
Beberapa hari selepas keputusan peperiksaan Tingkatan 12 diumumkan, pelajar mula melaporkan percanggahan markah yang dikaitkan dengan penggunaan sistem pemarkahan digital baharu.
Lembaga Pusat Pendidikan Menengah (CBSE) yang dikendalikan kerajaan memaklumkan, ia menerima permintaan untuk 1.1 juta salinan skrip jawapan daripada lebih 400,000 pelajar bagi tujuan semakan semula keputusan.
Sekurang-kurangnya 1.7 juta pelajar menduduki peperiksaan tersebut yang menjadi penentu kemasukan ke universiti.
CBSE menjelaskan, sistem pemarkahan atas skrin (OSM) diperkenalkan bagi mengurangkan kesilapan manusia dan meningkatkan kecekapan pentadbiran. Namun, ramai pelajar mendakwa ia sebaliknya menyebabkan keputusan gred yang tidak tepat.
Dalam sistem baharu itu, salinan fizikal skrip jawapan akan diimbas dan dimuat naik ke portal dalam talian untuk dinilai oleh guru, manakala perisian akan mengira jumlah markah secara automatik.
Namun, sebahagian pelajar mendakwa skrip jawapan yang diimbas tidak lengkap atau mempunyai halaman yang hilang, manakala yang lain melaporkan kesilapan pemarkahan, imbasan kabur serta ketidaksesuaian antara skrip jawapan.
Isu itu mula mendapat perhatian apabila pelajar dari New Delhi, Vedant Srivastava, dalam satu hantaran yang tular berkata, skrip jawapan peperiksaan fizik yang diterima selepas diminta, bukan miliknya.
Dia berkata, tulisan tangan berbeza dan kertas itu mengandungi jawapan yang tidak pernah ditulisnya.
Aduan Srivastava mencetuskan gelombang cerita serupa daripada pelajar lain, dengan ramai berkongsi tangkap layar yang menunjukkan kesilapan pemarkahan, halaman hilang atau kertas jawapan yang bukan milik mereka.
Lembaga itu memperkenalkan sistem pemarkahan baharu hanya lapan hari sebelum peperiksaan bermula, menyebabkan guru terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam kaedah penilaian.- THE GUARDIAN










