WASHINGTON: Amazon menarik balik produk kerusi santai yang dijual di platformnya selepas laporan mendakwa seorang pengguna dilaporkan mengalami kecederaan serius sehingga mengakibatkan kehilangan jari ketika cuba melaraskan perabot tersebut.
Menurut Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC), penarikan balik kerusi keluaran Giantex itu dibuat selepas ia dikenal pasti mempunyai ‘risiko amputasi’ jika jari pengguna terperangkap di titik jepit semasa proses pelarasan.
Kira-kira 1,155 unit kerusi terlibat dalam penarikan balik tersebut. Model kerusi santai luar itu adalah NP100NY, yang boleh dikenal pasti di bahagian hadapan kotak pembungkusan produk.
“Kerusi santai yang ditarik balik itu berwarna biru dan berukuran 76 inci panjang, 23 inci lebar dan 13 inci tinggi. Ia mempunyai sistem kunci pelarasan lima posisi, dan ketinggian penyandar belakang boleh dilaraskan dari 13.5 inci hingga 26.5 inci,” kata CPSC.
Produk itu dijual melalui Amazon dan laman web syarikat dari Ogos 2023 hingga Oktober 2025, dengan harga antara AS$75 (RM297) hingga AS$90 (RM357).
Laporan tersebut menyatakan pengguna perlu ‘menghentikan penggunaan kerusi santai yang ditarik balik itu serta-merta’.
Mana-mana pelanggan yang membeli produk berkenaan dinasihatkan untuk menghubungi Giantex bagi mendapatkan bayaran balik penuh.- AGENSI










