PORT DICKSON: Sebanyak 31 set bubu naga dirampas oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan selepas ia dijumpai di sekitar perairan Lukut, di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, sebelum itu pihaknya menerima aduan awam mengenai penyalahgunaan bubu naga oleh segelintir nelayan di perairan Negeri Sembilan.
Susulan itu, tambah beliau operasi mengesan bubu naga dilakukan semasa rondaan rutin sekitar pukul 4 petang semalam.
“Aset Maritim Malaysia telah menemui botol-botol plastik mencurigakan terapung di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.
“Pemeriksaan ke atas botol-botol plastik tersebut mendapati ia digunakan sebagai penanda lokasi pemasangan bubu naga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasukan operasi seterusnya merampas 31 set bubu naga dipasang di empat lokasi berasingan sekitar kedudukan 0.4 batu nautika barat daya muara Sungai Lukut, di sini.
“Kesemua bubu naga yang dijumpai itu dirampas kerana penggunaannya adalah tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia sejak November 2018.
“Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan pertumbuhan dan kemusnahan hasil laut kerana benih serta ikan kecil turut terperangkap dalam bubu naga yang diharamkan itu,” tambahnya.
Jelas Haris Fadzillah, pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan serta pematuhan keselamatan di laut. – UTUSAN ONLINE










