Malaysia rekod aliran masuk bon lebih RM7.9 bilion

Malaysia rekod aliran masuk bon lebih RM7.9 bilion

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap dalam Majlis Perasmian Pame­ran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Malaysia berjaya menarik keyakinan pelabur yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, dengan aliran masuk bon melebihi AS$2 (RM7.9) bilion direkodkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aliran masuk itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 bulan, berlaku ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan susulan konflik berterusan di Asia Barat yang mendorong kenaikan harga tenaga serta aliran keluar modal dari beberapa pasaran.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global membeli lebih AS$2 (RM7.9) bon Malaysia, iaitu aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Pame­ran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Anwar berkata, nilai ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap asas ekonomi negara.

Katanya, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, disokong aliran masuk pelaburan yang kukuh, khususnya dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

“Semua ini tidak datang tanpa usaha. Kita komited secara berterusan terhadap pembaharuan dasar serta penglibatan aktif dengan syarikat dan pengurus dana, yang mempunyai banyak pilihan dalam menentukan destinasi pelaburan dan pembuatan mereka,” jelasnya.

Anwar berkata, pelabur turut mengambil maklum tentang konsistensi kerajaan dalam menunaikan komitmen, selain ketahanan ekonomi negara meskipun berdepan persekitaran luaran yang mencabar.

“Mereka melihat sebuah kerajaan yang menepati janji. Mereka juga melihat ekonomi yang kekal bertahan walaupun keadaan di sekeliling semakin merosot,” katanya.

Beliau menambah, keupayaan industri negara terus menjadi faktor utama daya tarikan Malaysia kepada pelabur, dengan industri tempatan menghasilkan komponen bernilai tinggi untuk rantaian bekalan global.

Pada masa sama, Anwar turut berkata, kerajaan memberi jaminan untuk memastikan persekitaran kondusif kepada pemain industri, termasuk perlindungan harta intelek yang kukuh, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta pelaksanaan undang-undang secara konsisten.

“Harta intelek akan dilindungi dengan pantas dan boleh dipercayai. Kawalan perdagangan strategik akan dikuatkuasakan. Kontrak akan dipatuhi. Undang-undang akan terpakai kepada semua secara sama rata tanpa pengecualian,” jelasnya.

Beliau menegaskan, peranan kerajaan adalah menyediakan persekitaran terbaik untuk perniagaan, manakala keputusan komersial terletak di tangan syarikat.

Anwar berkata, kerajaan kekal terbuka menerima maklum balas daripada pemain industri dan akan bertindak terhadap sebarang isu yang menjejaskan kecekapan atau penguatkuasaan.

“Jika ada perkara yang tidak berfungsi, jika proses menimbulkan kesukaran yang tidak sepatutnya, atau penguatkuasaan tidak mencukupi, maklumkan terus kepada kami. Kami akan bertindak,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN