KUANTAN: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap hampir setengah jam di kawasan beting pasir selepas air laut pasang di Pantai Balok di sini pagi semalam.
Lokasi kejadian kira-kira pukul 8.37 pagi itu merupakan kawasan sama tragedi pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar yang ditemukan lemas ketika mencari kepah, kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pasukan penyelamat seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan kejadian itu.
“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian, terdapat seorang wanita berusia 24 tahun dari Kampung Jeram Ular, Bera terperangkap di beting pasir ketika air laut pasang pada jarak 100 meter dari pantai.
“Difahamkan kejadian berlaku apabila wanita berkenaan turun ke kawasan beting berkenaan ketika air surut namun tidak menyedari air mula pasang sehingga dia terkandas.
“Operasi menyelamat dilakukan menggunakan bot getah milik Persatuan Perahu Layar Pahang yang berada berhampiran menyeberangi air dengan kedalaman kira-kira satu meter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN










