Malaysia perlu tegas nyatakan komitmen di COP26 - Utusan Malaysia

Malaysia perlu tegas nyatakan komitmen di COP26

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu bersikap lebih tegas dengan komitmen pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), (COP26) yang sedang berlangsung di Glasgow, Scotland bagi membolehkan suhu dunia pada purata global 1.5 darjah Celcius seperti mana yang disepakati dalam Perjanjian Paris lepas.

Usaha itu bagaimanapun adalah mustahil sekiranya tiada pengurangan pelepasan gas rumah kaca berterusan dengan kadar segera dan berskala besar.  

Ketua Dasar dan Perubahan Iklim Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, Lakshmi Lavanya Rama Iyer berkata, pihaknya berharap agar Malaysia dapat mengesyorkan supaya negara-negara lain akan mengambil tindakan sewarasnya untuk mengehadkan peningkatan suhu sepertimana yang dikehendaki di bawah Perjanjian Paris itu. 

LAKSHMI LAVANYA RAMA IYER

Beliau berkata, sepertimana tujuan Perjanjian Paris itu, pengeluaran gas karbon dioksida sepatutnya diseimbangkan dengan penyerapannya iaitu karbon sifar bersih

 Ia akan  mengimbangi pengeluaran dengan penyerapan pada karbon sifar bersih pada tahun 2050. 

Katanya, perkara itu perlu dibuat bagi mengehadkan pertambahan suhu kerana ia berdasarkan mesej utama laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) jilid keenam yang menyatakan bahawa perubahan iklim yang dialami masa kini sememangnya perbuatan manusia. 

Bagaimanapun beliau berkata, WWF Malaysia dan kumpulan  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merasakan tahun 2050 tidak lagi sesuai pada tahap negara sudah membangun kerana sepatutnya mereka perlu lebih awal dalam menjadi karbon sifar bersih.

“Bagi negara membangun seperti Malaysia, maka bolehlah kita mencapai pada tahun 2050, namun kita tetap tidak boleh menunggu semua negara menjadi karbon sifar bersih pada tahun itu, kerana jika perkara itu berlaku, maka sukarlah untuk mencapai tahap 1.5 darjah celcius itu.

COP26 yang diadakan setiap tahun di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan ini adalah kali yang ke-26 diadakan bermula 31 Oktober lalu hingga 12 November ini. 

Sidang kemuncak COP26 akan mempertemukan pelbagai pihak untuk mempercepat tindakan menuju matlamat Perjanjian Paris dan UNFCCC.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan selaras komitmen Malaysia untuk  menjadi negara neutral karbon tahun 2050.

Perincian langkah-langkah bagi pencapaian aspirasi pelepasan GHG bersih sifar akan diumumkan setelah kajian strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon negara dimuktamadkan pada tahun 2022. 

Ismail Sabri berkata, Malaysia akan menyuarakan aspirasi baharu berkaitan perubahan iklim dalam persidangan itu nanti

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Zainal Abidin Sanusi berkata, komitmen yang bakal dinyatakan negara dalam persidangan itu bakal memberi impak positif untuk mana-mana syarikat mematuhi ke arah pembangunan secara lestari. 

 

 

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pelabur-pelabur lebih memilih negara lain yang belum menuju ke arah pembangunan lestari sekiranya komitmen yang diambil negara menuju pembangunan lestari lebih cepat.

 “Apabila melihat kepada pengumuman mengenai bebas karbon pada 2050 sebelum ini, mereka (pelabur dan syarikat) lebih prihatin dari segi pelaksanaannya nanti sama ada dibuat secara serius atau sebaliknya.

Pada COP26 kali ini, Malaysia diwakili Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN