PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mula melakukan lawatan secara rasmi buat julung kali ke Indonesia selama tiga hari sehingga Khamis.
Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Antara program lawatan ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo,” jelas kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini.
Lawatan itu menurut Wisma Putra, bakal membuka lembaran baharu hubungan dua hala dalam pelbagai bidang sedia kukuh antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama.
Ia juga memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin negara untuk meneroka peluang kerjasama dalam usaha pemulihan daripada kesan wabak Covid-19 yang melanda tahun lalu.
Kedua-dua pemimpin bakal membincangkan perkembangan penting serantau dalam konteks kerjasama ASEAN serta cabaran yang boleh menjejaskan lagi keamanan dan kemakmuran.
“Perdana Menteri juga akan mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia selain diaspora Malaysia di negara itu,” kata Wisma Putra.
Beliau dijangka membuat pertemuan dengan ketua-ketua editor media republik itu di samping melawat fasiliti perusahaan pertahanan Indonesia di Bandung, Wilayah Jawa Barat.
Ismail Sabri juga tambah Kementerian Luar, akan hadir menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian antara dua negara itu dengan pelbagai pihak.
Lawatan rasmi tersebut jelas Wisma Putra, dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard ketat Covid-19 yang ditetapkan bersama oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia.
Dua negara jiran serumpun itu selain menganggotai ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), turut menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).










