PETALING JAYA: Beberapa laluan tikus sudah berada dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikesan digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran untuk masuk ke negara ini.
Tanpa mendedahkan lokasi, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali menegaskan kepada Utusan Malaysia, pihaknya memandang serius mengenai perancangan mana-mana individu cuba membawa masuk PATI melalui mana-mana lokasi yang dikesan.
Justeru itu, kata beliau, pemantauan yang lebih rapi akan digerakkan pihaknya bagi memastikan kawalan keselamatan di kawasan pintu masuk negara, lorong-lorong tikus dan sempadan negara dipertingkatkan.
Bukan itu sahaja, tegas beliau, KDNKA juga akan mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat membantu kegiatan penyusupan PATI agar tindakan ke atas mereka diambil.
“Lokasi-lokasi laluan tikus yang dikenal pasti tidak dapat didedahkan. KDNKA masih mengekalkan kekuatan bagi mengawal sempadan negara dan akan meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan.
“Pemantauan yang dilakukan turut memberi fokus kepada aktiviti penyeludupan PATI, aktiviti bot asing serta aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan sempadan negara.
“Ini kerana, penugasan tersebut khususnya di pintu-pintu masuk merupakan tanggungjawab KDNKA, lebih-lebih lagi semenjak Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) diambil alih sepenuhnya di bawah kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, kata Hazani, komitmen KDNKA dalam perkara ini terbukti dengan beberapa siri tangkapan PATI serta rampasan besar di kawasan sempadan negara sejak akhir-akhir ini.
“Kerjasama rapat dengan agensi kerajaan lain telah membawa kepada banyak tangkapan dan rampasan membabitkan sindiket penyeludupan di pintu sempadan,” jelasnya.
Laporan muka hadapan Utusan Malaysia kelmarin melaporkan risikan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, kira-kira 100 hingga 150 orang PATI setiap dari Indonesia dikesan cuba menembusi perairan negara ini.
Jumlah PATI itu dikesan apabila sektor ekonomi dibuka pada Ogos lalu dan rentas negeri dibenarkan pada bulan lepas menyebabkan jangkaan sejumlah 3,000 cuba melepasi sempadan negara sehingga Disember ini.
Maklumat itu memaksa agensi berkenaan meningkatkan rondaan dan memantau rapi kawasan perairan terutama di Selangor, Melaka, Johor dan Perak bagi menyekat kemasukan PATI. – UTUSAN











