Krisis Sudan: Seorang warga Malaysia keluar menaiki pesawat komersial - Utusan Malaysia

Krisis Sudan: Seorang warga Malaysia keluar menaiki pesawat komersial

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Khartoum menjadi tumpuan warga asing keluar dari Sudan yang dilanda krisis ketegangan politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang rakyat Malaysia disahkan telah berjaya meninggalkan Sudan dengan menaiki pesawat penerbangan komersial dari ibu kota, Khartoum pada 28 Oktober lepas.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memberitahu, setakat ini kesemua 49 warga Malaysia termasuk 25 pelajar yang berdaftar dengan pihak kedutaan berada dalam keadaan selamat.

“Rakyat Malaysia tidak terkesan secara langsung dengan demonstrasi secara besar-besaran yang berlangsung di seluruh Sudan pada 30 Oktober lepas,” jelas Wisma Putra di sini hari ini.

Negara di rantau timur benua Afrika itu mengalami ketegangan politik ekoran rampasan kuasa oleh tentera pada 25 Oktober lalu menggulingkan Perdana Menteri Sudan, Abdallah Hamdok.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang menggulingkan kerajaan sementara juga mengisytiharkan darurat nasional dan memansuhkan Majlis Kedaulatan Sudan yang ditubuhkan pada 2019.

Wisma Putra bagaimanapun tidak mendedahkan identiti warga Malaysia yang dilaporkan sudah meninggalkan Sudan dan butiran penerbangan dinaikinya serta lokasi destinasi dituju.

Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum yang ditutup pada hari rampasan berkenaan telah dibuka semula oleh pihak berkuasa penerbangan awam Sudan pada 27 Oktober lalu.

Ia merupakan pintu keluar masuk utama bagi warga asing menerusi udara dengan 25 syarikat penerbangan yang menuju lebih 70 destinasi sekitar rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan 17 rakyat Malaysia dan seorang staf Petronas warga Thailand masih lagi berlindung sementara di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia.

Mereka ditempatkan secara sementara manakala baki 32 rakyat Malaysia di pelbagai lokasi lain di Sudan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri.

Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia menerusi telefon +249 99 070 0350 atau e-mel kepada [email protected].

Kedutaan terletak di Kompleks Petronas Sudan di Nile Avenue itu juga boleh dihubungi melalui wadah media sosial Facebook @Malawakil.Khartoum atau Twitter @MYEmbKhartoum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN