Jepun perkenal istilah baharu hari paling panas

Jepun perkenal istilah baharu hari paling panas

PEJALAN kaki memegang payung berjalan pada hari panas ketika gelombang haba melanda daerah Shinjuku, Tokyo.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun memperkenalkan istilah baharu untuk hari yang mencatat suhu melebihi 40 darjah Celsius, selepas negara itu mengalami musim panas paling terik dalam rekod tahun lalu.

Istilah ‘kokushobi’ diterjemahkan sebagai cuaca panas yang kejam, panas melampau atau hari yang sangat terik oleh media Jepun dan antarabangsa.

Nama itu muncul sebagai pilihan paling popular menerusi satu tinjauan dalam talian nasional, dengan pilihan ‘hari super panas’ menduduki tempat kedua.

Fenomena cuaca ekstrem seperti gelombang haba semakin kerap dan semakin kuat di seluruh dunia, didorong oleh aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil.

Perkhidmatan Meteorologi Jepun (JMA) memperkenalkan istilah itu pada Jumaat, dengan koku membawa maksud keras atau kejam untuk menggambarkan kepanasan melampau, lapor akhbar Japan Times.

Tinjauan tersebut dijalankan antara Februari hingga Mac dan menerima kira-kira 478,000 undian, dengan orang ramai memilih daripada 13 pilihan istilah bagi menggambarkan hari paling panas.

Jepun sebelum ini sudah mempunyai istilah bagi hari melebihi 25, 30 dan 35 darjah Celsius. Istilah baharu ini diperkenalkan selepas negara itu mengalami musim panas luar biasa pada tahun lalu.

Musim panas 2025 direkodkan sebagai yang paling panas sejak rekod bermula pada 1898, dengan suhu purata nasional 2.36 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata biasa.

Suhu melebihi 40 darjah Celsius dicatatkan pada sembilan hari antara Jun hingga Ogos, dengan rekod tertinggi baharu 41.8 darjah Celsius di bandar Isesaki. Jumlah hari panas melampau juga melepasi rekod tahun 2024.

Tokyo merekodkan 25 hari melebihi suhu 35 darjah Celsius, berbanding purata hanya 4.5 hari, manakala Kyoto mencatat 52 hari berbanding purata 18.5 hari.

Bagi musim panas tahun ini, JMA meramalkan kebarangkalian tinggi suhu akan kekal melebihi paras normal di Jepun antara Jun hingga Ogos.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×