Peruntukkan jalan luar bandar Sabah, Sarawak tidak pernah dipinggirkan - Utusan Malaysia

Peruntukkan jalan luar bandar Sabah, Sarawak tidak pernah dipinggirkan

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan dalam peruntukan pembangunan jalan luar bandar, sebaliknya kedua-duanya terus diberi keutamaan dengan peruntukan yang meningkat hampir tiga kali ganda bagi tempoh 2023 hingga 2027 berbanding lima tahun sebelumnya.

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perbelanjaan jalan luar bandar bagi tempoh 2018 hingga 2022 berjumlah RM3.7 bilion manakala bagi tempoh 2023 hingga 2027 meningkat kepada RM11 bilion, termasuk peruntukan tahun ini dan tahun hadapan.

Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak yang setiap tahun menerima kira-kira separuh daripada keseluruhan perbelanjaan jalan luar bandar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, perbelanjaan sebenar bagi pembangunan jalan luar bandar di kedua-dua negeri itu mencecah RM1.41 bilion tahun ini, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Sejak 2023, sebanyak RM4.6 bilion telah dibelanjakan. Setiap tahun kira-kira separuh daripada perbelanjaan jalan luar bandar seluruh negara disalurkan ke Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan. Sabah dan Sarawak didahulukan,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Mengulas mengenai penangguhan beberapa projek jalan luar bandar, Tengku Zafrul berkata, langkah itu perlu dilihat dalam konteks pengurusan kewangan negara dan peningkatan komitmen kontrak yang melebihi peruntukan asal diluluskan Parlimen.

Beliau berkata, sejak 2022, perbelanjaan jalan luar bandar setiap tahun telah melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen, sekali gus menyebabkan komitmen kontrak terus meningkat sehingga berlaku tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Menurutnya, Kementerian Kewangan perlu mengimbangi keperluan peruntukan semua kementerian termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.

“Apabila sebuah kementerian membuat komitmen melebihi peruntukan yang diluluskan, MoF terpaksa mencari jalan untuk menampungnya.

“Dalam kes ini, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi 2026, menggunakan hasil penjimatan daripada peruntukan pembangunan kementerian lain supaya tunggakan kepada kontraktor dapat dijelaskan,” katanya.

Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Ekonomi.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa penangguhan kontrak baharu tidak bermaksud projek sedia ada dibatalkan dan MoF pula tidak pernah mengeluarkan arahan untuk membatalkan projek berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata penangguhan kontrak baharu dilaksanakan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat dan memastikan komitmen kewangan kerajaan kekal terkawal.

“Penangguhan kontrak baharu juga tidak bererti projek sedia ada dibatalkan. MoF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan. Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat. Itu dua perkara yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan kewangan negara perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira bukan sahaja kelulusan sesuatu projek, malah keupayaan kerajaan menyediakan peruntukan mencukupi untuk membiayai pelaksanaannya.

Menurutnya kerajaan memahami keperluan penduduk di kebanyakan kampung di Sabah dan Sarawak yang masih menantikan kemudahan jalan raya yang lebih baik.

Sehubungan itu, Belanjawan 2027 terus menyediakan RM2.27 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar selain RM34.9 bilion untuk Sabah dan Sarawak, iaitu jumlah tertinggi antara semua negeri.

“Sabah dan Sarawak tidak wajar dijadikan modal politik oleh sesiapa. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, peruntukan sahaja tidak mencukupi tanpa tadbir urus yang baik.

“Apa yang penting projek dilaksanakan, kontraktor dibayar dan rakyat mendapat manfaat. Itulah keutamaan kita,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini