EU digesa halang kontroversi ‘game over’ permainan video 

EU digesa halang kontroversi ‘game over’ permainan video 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Satu tamparan pahit buat peminat permainan video apabila semakin banyak judul lama tetapi masih popular dihentikan oleh penerbit dengan pelayan dimatikan secara mengejut, menyebabkan ramai mendesak amalan itu diharamkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Lebih sejuta pengguna dari seluruh Eropah menyokong petisyen rakyat dikenali sebagai ‘Stop Destroying Videogames’ dan kini menekan pihak berkuasa di Brussels untuk mengambil tindakan.

Isu utama ialah dalam sedekad lalu, ratusan permainan video tidak lagi boleh dimainkan atas keputusan penerbit, berikutan pelbagai sebab termasuk keuntungan dan perubahan strategi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akibatnya, sebahagian besar budaya popular terhapus begitu sahaja, tanpa sebarang pampasan kepada pemain yang sudah membelanjakan wang yang besar, termasuk melalui pembelian mikro dalam permainan.

Fenomena ini turut melibatkan versi lama francais terkenal seperti siri simulasi bola sepak FIFA. Namun penutupan permainan lumba kereta The Crew pada 2024 menjadi titik perubahan, mencetuskan gerakan pemain melalui petisyen di peringkat Eropah.

“Ia seperti membeli sebuah buku, kemudian apabila dibuka, semua halamannya kosong kerana penerbit memutuskan anda tidak lagi boleh bermain,” kata penganjur petisyen dari Perancis, Brendan Fourdan.

Didorong kejayaan inisiatif rakyat itu, kumpulan advokasi hak pemain kini aktif bertemu pelbagai institusi EU bagi mendesak campur tangan badan itu.

Selepas bertemu pegawai Suruhanjaya Eropah (EC) termasuk Ketua Digital, Henna Virkkunen dan Ketua Perlindungan Pengguna, Michael McGrath pada Februari, mereka turut membentangkan isu itu kepada ahli Parlimen Eropah dalam satu pendengaran pada Khamis.

“Ahli Parlimen mendengar tuntutan kami dan kebanyakan pandangan mereka selari dengan kami, menunjukkan mereka memahami masalah ini dan mahu menamatkannya,” kata Fourdan.

Kempen tersebut menuntut agar undang-undang perlindungan pengguna sedia ada dikuatkuasakan terhadap industri permainan, selain menggesa pembaharuan undang-undang EU, satu cabaran yang lebih besar.

“Kami tidak berniat menghalang penerbit daripada menghentikan penjualan permainan. Apa yang kami mahu ialah apabila permainan ditutup, ia masih boleh dimainkan, contohnya melalui pelayan persendirian yang dikendalikan secara sukarelawan. Jika tidak, penerbit dicadangkan supaya memberikan bayaran balik kepada pemain,” jelasnya.-

Isu ini dianggap serius memandangkan permainan video merupakan industri budaya terbesar di Eropah dengan pendapatan berbilion euro setiap tahun.

“Ia industri dengan nilai ekonomi besar serta kepentingan budaya dan teknologi yang tinggi. Ia sepatutnya menjadi perhatian EC dan Parlimen Eropah,” kata Moritz Katzner dari kumpulan Stop Killing Games.

Ahli Parlimen EU dari parti Hijau, Catarina Vieira berkata, isu itu semakin mendapat perhatian.

“Terdapat keinginan dalam semua kumpulan politik untuk mencari penyelesaian terbaik bagi pembeli permainan yang berhak menggunakannya dalam jangka panjang,” katanya.

EC yang diberi tempoh sehingga akhir Julai untuk memberi maklum balas terhadap petisyen itu, bagaimanapun memberi amaran penyelesaian tidak mudah dilaksanakan, khususnya melibatkan isu harta intelek.

Sementara itu, syarikat permainan video menolak cadangan kumpulan kempen.

Persatuan Industri Permainan Video Eropah menyatakan pelayan persendirian tidak semestinya pilihan yang sesuai untuk pemain.

Menurutnya, tanpa perlindungan yang disediakan penerbit bagi menjaga data pemain, menyingkirkan kandungan haram dan mengawal keselamatan komuniti, sistem sedemikian boleh menyebabkan pemegang hak bertanggungjawab terhadap sebarang penyalahgunaan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini