PUTRAJAYA: Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa bar keluli termasuk bar keluli menunjukkan peningkatan bagi keseluruhan kategori bangunan sejak bulan lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan menyebut, peningkatan itu berlaku bagi Semenanjung Malaysia iaitu di antara 0.1 dan 2.3 peratus; Sabah di antara 0.1 dan 2.1 peratus dan Sarawak di antara 0.1 dan 1.5 peratus.
Katanya, besi menunjukkan peningkatan tertinggi di Perak (3.4 peratus), diikuti Sandakan (2.7 peratus), Miri (2.6 peratus), Selangor dan Kuala Lumpur (2.2 peratus), Sibu (0.5 peratus) dan Kuching (0.1 peratus).
“Pahang pula menunjukkan peningkatan tertinggi simen dengan kenaikan sebanyak 2 peratus dan diikuti Perak (1.2 peratus Perak), manakala keratan keluli dan logam bagi Miri dan Sandakan turut meningkat masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.3 peratus.
“Kenaikan harga bahan binaan termasuk simen, keluli dan bahan besi adalah disebabkan kenaikan harga arang batu dan produk petroleum di peringkat global. Harga bahan binaan adalah lebih mahal selepas aktiviti pembinaan disambung semula selepas Perintah Kawal Pergerakan (PKP) pada Jun lalu dan empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan kerajaan,” katanya, hari ini.
Kenyataan itu menyebut, pada 22 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan semua aktiviti berkaitan sektor pembinaan dibenarkan dibuka.
“Susulan kenaikan harga bahan binaan terutamanya besi dan simen, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) mencadangkan Kementerian Kewangan melanjutkan Syarat Perubahan Harga (VOP) sehingga tahun hadapan bagi memastikan projek kerajaan tidak terjejas dan boleh disiapkan mengikut jadual yang dirancang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










