NILAI: Tekanan beraksi di laman sendiri akhirnya bertukar menjadi malam penuh magis buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang apabila menghadiahkan aksi luar jangkaan di Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini.
Pelumba berusia 38 tahun itu menamatkan penantian penyokong dengan merangkul emas acara keirin lelaki selepas mempamerkan kayuhan dramatik dalam perlumbaan penuh debaran.
Kemenangan tersebut hadir dalam suasana cukup emosional apabila beliau berjaya menewaskan jaguh dunia yang juga juara Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen di hadapan ribuan penyokong tempatan.
Lebih mencuri perhatian, Azizulhasni bangkit daripada kelompok belakang sebelum melakukan henjutan penentu dalam 50 meter terakhir yang mencetuskan sorakan gemuruh.
“Sejujurnya, berlumba di halaman sendiri bukan sesuatu yang mudah kerana tekanan dan harapan sangat tinggi, tetapi saya gunakan pengalaman saya untuk harungi satu per satu.
“Saya cuba kawal perlumbaan dengan baik dari awal, fokus kepada pemulihan dan persiapan kerana cabaran sebenar ialah mengurus tenaga dalam keadaan panas dan tekanan tinggi,” kata Azizulhasni kepada pemberita selepas perlumbaan di sini, hari ini.
Dalam aksi final, beliau memilih pendekatan bersabar sebelum memanfaatkan ruang sempit di selekoh terakhir untuk melancarkan serangan berani yang sukar dijangka lawan.
Strategi tersebut terbukti menjadi apabila Azizulhasni memecut tepat pada masanya untuk memintas pelumba utama sekali gus mengesahkan kemenangan penuh dramatik.
“Saya nampak ruang itu pada saat yang tepat dan gunakan pengalaman untuk lalu di celah-celah sebelum memecut sekuat mungkin hingga ke garisan penamat.
“Saya sendiri rasa seperti tidak percaya, tetapi dengan sorakan penyokong dan keyakinan diri, saya buktikan kita mampu lakukan sesuatu yang luar jangkaan,” katanya.
Untuk rekod, kejayaan itu merupakan emas kedua Azizulhasni dalam acara keirin musim ini selepas turut mengungguli pusingan pertama di Perth, Australia, Mac lalu.










