GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran purata suhu global dijangka terus berada pada atau hampir paras rekod tertinggi tahun ini dan bagi tempoh empat tahun akan datang.
Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) berkata, 11 tahun paling panas yang pernah direkodkan semuanya berlaku sejak 2015, dan trend pemanasan global itu dijangka berterusan dengan kemungkinan rekod suhu baharu dicatat sebelum 2031.
Menurut agensi cuaca dan iklim PBB, terdapat 75 peratus kemungkinan suhu purata lima tahun antara 2026 hingga 2030 akan melepasi ambang utama 1.5 darjah Celsius berbanding purata pra-perindustrian 1850 hingga 1900.
Ramalan WMO itu dibuat ketika Eropah Barat berdepan fenomena ‘kubah haba’ yang menyebabkan suhu tinggi melampau, sekali gus memecahkan rekod bagi bulan Mei di Britain dan Perancis, manakala Itali mengeluarkan amaran gelombang haba di bandar-bandar utama.
“Purata suhu global dijangka terus berada pada atau hampir paras rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ia juga berkemungkinan (86 peratus) satu tahun antara 2026 hingga 2030 akan mengatasi 2024 sebagai tahun paling panas pernah direkodkan,” menurut agensi itu.
Penulis utama Kemas Kini Tahunan-ke-Dekad Global WMO, Leon Hermanson berkata, fenomena El Nino dijangka berlaku pada penghujung 2026, sekali gus meningkatkan kemungkinan 2027 menjadi tahun baharu paling panas pernah direkodkan.
Fenomena El Nino sebelum ini menyebabkan 2023 menjadi antara tahun paling panas pernah direkodkan, manakala 2024 mencatat suhu paling tinggi dalam sejarah moden dengan peningkatan sekitar 1.55 darjah Celsius melebihi purata era pra-perindustrian.
El Nino adalah fenomena iklim semula jadi yang meningkatkan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa, sekali gus menyebabkan perubahan corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.
Fenomena itu biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan boleh berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.- AFP










