LONDON: Britain berisiko mewujudkan ‘generasi yang tercicir’ apabila jumlah golongan muda tidak bekerja, tiada pendidikan dan tidak menjalani latihan hampir mencecah satu juta orang serta dijangka terus meningkat, menurut kajian diterbitkan pada Khamis.
Tanpa tindakan segera, jumlah golongan berusia 16 hingga 24 tahun yang tidak bekerja, tidak belajar dan tidak mengikuti latihan dikenali sebagai ‘NEET’ boleh meningkat kepada 1.25 juta orang, atau satu daripada setiap enam belia, menjelang 2031, menurut laporan itu.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, mengarahkan kajian tersebut tahun lalu bagi memahami punca peningkatan pengangguran belia.
“Kita berdepan risiko kehilangan satu generasi. Ini bukan kegagalan golongan muda. Ini adalah kegagalan sistem yang masih terperangkap dengan cara lama,” katabekas menteri Kabinet Parti Buruh yang mengetuai kajian itu, Alan Milburn, sebelum pembentangan laporan berkenaan pada Khamis.
Walaupun 84 peratus golongan NEET mahu bekerja atau mengikuti latihan, laporan itu mendapati individu muda Britain kini sukar untuk mencapai anak tangga pertama dalam kerjaya.
Laporan itu menyatakan keadaan tersebut berpunca daripada kemerosotan ketara dalam peluang pekerjaan peringkat permulaan seperti pekerjaan hospitaliti, kerja hujung minggu dan program perantisan.
“Sama ada dalam pendidikan, kesihatan atau kebajikan, sistem itu gagal membantu mereka menyertai pasaran buruh,” kata Milburn.
Cadangan penyelesaian dijangka diperincikan lewat tahun ini.
“Isu yang dikenal pasti dalam Kajian Milburn sudah lama dilaporkan oleh sektor perniagaan.
“Laporan ini mesti menjadi amaran kepada pembuat dasar mengenai krisis golongan muda yang tidak bekerja, tidak belajar dan tidak menjalani latihan,” kata Ketua Pengarah Dewan Perniagaan Britain, Shevaun Haviland. – AFP










