PETALING JAYA: Keputusan merehatkan perseorangan No. 1 negara, Leong Jun Hao hampir memakan diri dan mujur bekas bintang No. 2 dunia, Lee Zii Jia muncul wira Malaysia menundukkan England 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber 2026 di Horsens, Denmark, hari ini.
Zii Jia yang kini menghuni ranking No. 82 dunia turun selaku perseorangan ketiga negara, mudah membenam pemain ke-233 dunia, Nadeem Dalvi 21-13, 21-11 dalam masa 35 minit.
Bagaimanapun, sebelum Zii Jia masuk ke gelanggang, Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila gagal mengutip mata pertama menerusi Justin Hoh yang menggalas tugas sebagai perseorangan pertama.
Pemain No. 38 dunia itu tewas 19-21, 19-21 dalam masa 49 minit kepada Harry yang berada di tangga ke-42 dunia.
Ketinggalan 0-1, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas beregu lelaki No. 2 dunia itu mudah menyingkirkan gandingan ke-66 dunia, Oliver Butler-Samuel Jones 21-19, 21-13 dalam masa 33 minit.
Pemain No. 46 dunia, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang diharapkan dapat memintas England gagal berbuat demikian apabila dia dikejutkan dengan pemain ke-153 dunia, Cholan Kayan 16-21, 15-21 dalam masa 42 minit.
Kedudukan 2-1 itu menyaksikan barisan pemain England meraikan kejayaan tersebut seolah-olah kemenangan telahpun berada di dalam genggaman mereka.
Mujur beregu No. 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menebus maruah Malaysia dengan kemenangan straight set ke atas pasangan No. 64 dunia, Alex Green-Zach Russ 21-14, 21-14 dalam masa 33 minit.
Kemenangan tersebut membuka pintu kepada Malaysia kembali menyamakan kedudukan dengan England menjadi 2-2 dan meletakkan Zii Jia di kedudukan penentu bagi memastikan kemenangan 3-2 menjadi milik mutlak skuad lelaki negara.
Justin ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengakui dia berasa tertekan apabila diberi tanggungjawab sebagai perseorangan pertama.
“Saya akui agak tertekan dan lawan pula bermain dengan baik. Saya gagal menang pada pertemuan itu dan sewaktu set kedua, saya ketinggalan agak jauh sehingga sukar untuk mengejar kedudukan lawan,” katanya.
Pemain berusia 22 tahun itu berharap dia diberi peluang kedua bagi menebus kekalahan tersebut pada perlawanan akan datang.
Malaysia bakal berdepan Finland pada Isnin sebelum menutup aksi Kumpulan B bertemu Jepun, Rabu ini. – UTUSAN










