PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan aksinya dari petak ke-10 pada perlumbaan sebenar Grand Prix (GP) Motosikal Sepanyol di Litar Jerez, Sepanyol, esok.
Anak jati Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mencatat masa sepusingan 1 minit 45.273 saat (s) pada sesi kelayakan 2 (Q2), hari ini.
Hakim Danish menebus kekecewaannya pada GP Amerika Syarikat yang menyaksikan pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan di kedudukan corot selepas ditimpa kemalangan dalam sesi kelayakan yang mengakibatkan dia gagal melakukan sebarang catatan masa.
“Syukur Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan P10 dalam sesi kelayakan tadi. Dalam Q1 saya cuba terus menekan untuk layak ke Q2 dan saya berjaya lakukannya.
“Dalam Q2 pula memang agak sukar sebab ramai pelumba sangat laju. Saya cuba ikut pelumba-pelumba pantas dan masih ada beberapa sektor yang saya perlu perbaiki lagi.
“Untuk esok, saya hanya mahu kekal fokus dan cuba berada rapat bersama kelompok depan. Insya-Allah. Saya harap rakyat Malaysia dapat doakan kejayaan saya,” kata Hakim.
Kali ini, dalam saingan pusingan keempat di Litar Jerez yang merupakan antara trek kegemarannya, Hakim Danish memastikan dia tidak lagi mengulangi kesilapan sama.
Pelumba Sepanyol, Maximo Quiles dari pasukan CFMoto Gaviota Aspar Team menempah petak pertama selepas melakar masa sepusingan terpantas 1:44.070s.
David Munoz yang mewakili pasukan Luqui Moly Dynavolt Intact GP berada di kedudukan kedua dengan catatan masa 1:44.445s, manakala, pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe di tempat ketiga selepas mencipta masa sepusingan 1:44.655s.
Untuk rekod, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-14 keseluruhan carta kedudukan pelumba Moto3 selepas mengumpul sembilan mata daripada tiga pusingan.
Keputusan terbaik Hakim Danish sejak musim 2026 bermula adalah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 pada GP Brazil, manakala di GP Amerika Syarikat, dia melengkapkan aksinya di tangga ke-13.
Kejayaan mengumpul mata dua daripada tiga pusingan, musim ini pada penampilan sulungnya selaku pelumba tetap, meletakkan Hakim Danish pada landasan tepat bagi mencerahkan peluang memburu sekurang-kurangnya satu keputusan podium yang disasarkan SIC Racing buat anak muda itu. – UTUSAN










