Konvokesyen UKM Ke-49 rai 7,709 graduan - Utusan Malaysia

Konvokesyen UKM Ke-49 rai 7,709 graduan

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyerahkan watikah perisytiharan pelantikan Pro-Canselor UKM kepada Mohd. Zuki Ali dalam Sidang Canselor Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM, Bangi, semalam. – MINGGUAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Seramai 7,709 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diraikan dalam Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),

Majlis berlangsung secara fizikal dan dilaksanakan dalam 12 sidang bermula semalam hingga 8 Disember ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM, dekat sini.

Pengisytiharan Konvokesyen disempurnakan Canselor UKM, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, majlis itu menyaksikan penganjuran konvokesyen buat kali kedua tahun ini bagi mengiktiraf kejayaan graduan mengikut suasana norma baharu.

“Sehingga hari ini, UKM melahirkan 214, 236 graduan dan tahun ini, 7,709 orang lagi berarak di pentas bersejarah ini.

“Walaupun SOP tidak membenarkan ahli keluarga meraikan kejayaan graduan di dewan ini, mereka masih boleh menonton majlis konvokesyen secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM, https://www.facebook.com/UKMOfficial, saluran Youtube, https://live.ukm.my dan menerusi Laman Web Rasmi Konvokesyen, www.ukm.my/konvo,” katanya di sini, semalam.

Majlis Konvokesyen UKM Ke-49 itu turut menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali diisytiharkan sebagai Pro-Canselor baharu UKM pada Sidang Canselor, lantikannya berkuat kuasa 7 Oktober 2021 bagi tempoh tiga tahun sehingga 6 Oktober 2024.

Majlis itu menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Jaringan Pendidikan Kesihatan Dan Kelestarian) kepada Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Sains Nuklear) kepada Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan.

Selain itu, seramai lima bekas pensyarah UKM terdiri daripada Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman, Datuk Ir. Dr. Hassan Basri, Datuk Dr Raymond Azman Ali dan Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani dianugerah gelaran Profesor Emeritus manakala Allahyarham Datuk Dr. Khalid Yusoff pula dianugerah Profesor Emeritus Posthumous.

Mengenai Pro-Canselor baharu, Prof. Dr. Mohd. Ekhwan berkata, pihaknya percaya pelantikan Mohd. Zuki mampu menyumbang dan membawa UKM untuk mencapai kemajuan akademik serta pengurusan organisasi lebih cemerlang.

Katanya, pelantikan itu juga mengukir sejarah baharu dalam tinta emas universiti tersebut apabila Ketua Setiausaha Negara itu adalah alumni UKM pertama yang dilantik bagi jawatan berkenaan.

“Dengan kepemimpinan dan kewibawaan Mohd. Zuki menerajui perkhidmatan awam, lantikan ini amat bertepatan dengan hasrat dan visi UKM untuk terus menggarap lebih banyak kecemerlangan di persada nasional serta antarabangsa,” ujarnya.

Majlis konvokesyen itu dilaksanakan dalam 12 sidang dengan satu sidang sahaja untuk satu hari, iaitu di sebelah pagi dengan masa maksimum tiga jam setiap sidang bagi mengelakkan pertembungan sekiranya diadakan dua sidang pada satu hari.

Semua graduan, ahli akademik dan petugas yang berada di dalam dewan perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa termasuk ketika mengambil skrol di atas pentas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.