Kompaun RM10,000: Pelanggaran protokol am luar kawalan penganjur - Exco - Utusan Malaysia

Kompaun RM10,000: Pelanggaran protokol am luar kawalan penganjur – Exco

WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Isu pelanggaran protokol am membabitkan pemakaian pelitup muka yang sempurna dan penjarakan fizikal penonton semasa perlawanan antara Terengganu FC dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) pada Isnin lalu, adalah di luar kawalan pihak penganjur. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, selaku tuan rumah, Terengganu FC Sdn. Bhd. sangat mengutamakan soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam pengurusan penyokong pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus itu. 

Malah, katanya, penganjur juga sentiasa mengingatkan penonton agar menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka. 

“Saya turut hadir dalam perlawanan itu dan didapati kebanyakan penonton mematuhi SOP ditetapkan, bahkan penganjur berulang kali memberikan peringatan termasuk pada waktu rehat. 

“Cuma dari segi penjarakan sosial itu saya dapati kurang terkawal apabila pasukan mulai meraih gol berikutan keterujaan penonton hingga mereka bangun dan beralih tempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Gara-gara tidak memastikan pemakaian pelitup muka yang sempurna dan penjarakan fizikal penonton, pengurusan Terengganu FC Sdn. Bhd. dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masing-masing dikompaun RM10,000 hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata, siasatan yang dijalankan bagaimanapun mendapati pihak penganjur telah mengambil langkah-langkah seperti mengehadkan jumlah penonton kepada 20,000 orang, membenarkan hanya yang lengkap vaksinasi, menyediakan pasukan kawalan keselamatan di samping mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Sehubungan itu, Wan Sukairi menasihatkan penyokong agar terus mematuhi SOP ditetapkan ketika menonton perlawanan bola sepak bagi mengelak kerugian besar kepada kelab akibat dikenakan kompaun kerana melanggar SOP. 

“Kita ada lagi aksi dengan JDT dan kalau diberikan rezeki ke final pada 30 November ini saya berharap penyokong patuh kepada arahan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya