JOHOR BAHRU: Parti Wawasan Negara (Wawasan) akan mengumumkan senarai calon serta jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dalam masa terdekat.
Penyelaras Gerakan Reset Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, Wawasan sudah mengadakan perbincangan untuk membentuk kerjasama politik dengan parti lain untuk bersama-sama dalam PRN Johor.
“Saya selaku Penyelaras Gerakan Reset Johor ingin menyatakan kesediaan penuh untuk mentransformasikan keseluruhan 26 Bahagian Gerakan Reset di Johor bagi menyertai Wawasan.
“Penubuhan parti ini bagi memastikan perjuangan yang telah digerakkan agar dapat diteruskan dengan lebih tersusun, berkesan dan mempunyai platform politik yang sah untuk membawa agenda perubahan kepada negara,” katanya.
Tambah Zulkifli, perjuangan melakukan pembaharuan tidak akan dapat dicapai tanpa sebuah wadah politik yang mampu menterjemahkan gagasan tersebut kepada dasar dan tindakan memberi manfaat kepada rakyat.
“Atas sebab itu, Wawasan bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi merupakan kesinambungan kepada perjuangan Reset yang telah digerakkan.
“Kita mempunyai matlamat memperbetulkan sistem yang semakin memerlukan pembaharuan serta membina sebuah Konsensus Nasional Baharu yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang demi masa depan negara,” katanya.-UTUSAN










