KLANG: Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh seorang pemberi pinjaman wang atau ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi di sini, Sabtu lalu mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, motif awal kejadian itu dikenal pasti selepas pihaknya menahan seramai 16 suspek setakat ini.
Katanya, kesemua individu itu termasuk lapan lelaki dan dua wanita diberkas dalam beberapa operasi di sekitar Lembah Klang dan Johor semalam.
“Kita percaya kes pembunuhan itu mungkin melibatkan kumpulan kongsi gelap. Siasatan lanjut bagaimanapun sedang dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada semua suspek adalah ahli atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Jambatan Kota, Jalan Tengku Kelana di sini, petang tadi.
Yang hadir sama Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.
Terdahulu, sepasukan polis membawa seorang suspek di kawasan jambatan itu bagi menunjukkan lokasi pembuangan senjata yang digunakan untuk menetak mangsa.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari Sabtu lalu, mangsa mati ditetak dengan parang oleh dua penjenayah selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam.
Lelaki berusia 47 tahun berkenaan bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun sebelum itu sedang menuju ke kereta mereka, namun mangsa ditetak dan sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah lalu maut di hadapan sebuah restoran lain.
Bagaimanapun, Nik Ezanee menganggap kes berkenaan diselesaikan dengan penahanan semua suspek tersebut.
“Siasatan mendapati enam daripada suspek berada di lokasi kejadian dan kita masih mengesan empat individu lain bagi membantu siasatan.
“Selain itu, kita akan mendapatkan bantuan Unit Tindakan Khas (UTK) untuk mencari tiga parang yang dipercayai dibuang ke Sungai Klang,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius pembabitan kumpulan kongsi gelap dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
“Kita tidak pernah memejam mata dan akan menyiasat penglibatan semua kongsi gelap di Selangor. Selain itu, kita akan melihat aspek perundangan yang boleh diambil sama ada
Akta Kesalahan dan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










