fbpx

(KEMAS KINI) Nahas dua sekawan maut berpunca kereta hilang kawalan

KEADAAN dua kereta terbabit nahas di Kilometer 34, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dekat Sungai Siput, Perak,  semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT:  Kemalangan jalan raya yang menyebabkan dua lelaki maut di  Kilometer 34, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini, semalam berpunca daripada kereta dipandu mangsa  hilang kawalan lalu terbabas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, pemandu dan penumpang kereta Proton Saga masing-masing berusia 20 dan 22 tahun parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, kemalangan berlaku membabitkan kereta dinaiki mangsa dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dinaiki lima sekeluarga.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki dua sekawan yang dalam perjalanan dari Ipoh menghala Kuala Kangsar terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian melanggar Proton Exora yang berada di laluan sah. Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu Proton Exora berusia 41 tahun yang juga anggota polis tidak cedera namun isteri dan tiga anaknya masing-masing berusia 16, 14 dan 13 tahun cedera di beberapa bahagian badan,” katanya di sini hari ini. 

Katanya, siasatan kejadian itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI