PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves di sini hari ini.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika ibu mangsa tiada di rumah atas urusan luar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki berusia empat tahun dan ibu saudara berusia 36 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap. Kita percaya mangsa terjatuh dari tingkap itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji. – UTUSAN ONLINE










