PETALING JAYA: Kapasiti perkhidmatan hotel di seluruh negara sewajarnya mengikut jumlah tenaga kerja sedia ada supaya tidak menyusahkan pengunjung dan menyebabkan kesesakan.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, kekurangan tenaga kerja memberi kesan kritikal terhadap operasi perhotelan yang mana sebelum ini pengurusan hotel dapat membuka 100 peratus kapasiti dengan 30 pekerja.
Bagaimanapun, katanya, pengurusan hotel sepatutnya membuka 50 peratus kapasiti sahaja berikutan masalah kekurangan tenaga kerja.
“Walaupun permintaan tinggi terutama sejak pembukaan sektor pelancongan, pihak pengurusan perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum menentukan jumlah kapasiti boleh dibuka.
“Kita tak nak kejadian yang tular di TikTok, pengunjung kena tunggu sampai enam ke tujuh jam hanya untuk check-in terjadi sekali lagi. Jangan terlalu ghairah mendapatkan pendapatan sehingga servis yang diberi teruk,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, industri perhotelan tempatan menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga kerja mencukupi.
Emmy Suraya berkata, situasi kakitangan lama keberatan kembali bekerja di sektor itu berikutan mereka sudah selesa berada dalam industri lain yang dirasakan lebih menjamin masa depan mereka.
“Mereka bukan tak nak kembali tetapi takut jika berlaku sekatan industri sekali lagi bagaimana hendak menyara keluarga dan diri sendiri,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya sedang berusaha melakukan perbincangan bersama Jabatan Tenaga Kerja untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.
Sementara itu, Lip Seng berkata, tanpa pembukaan pintu antarabangsa semula, pihak pengurusan hotel masih tidak mampu merekrut pekerja tetap dan memberikan gaji lumayan.
Tambahnya, kontraktor pembersihan turut tidak dapat menyalurkan tenaga kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) kerana kekurangan pekerja asing. -UTUSAN ONLINE










