Permintaan tentera AS guna ruang udara Indonesia dikaji - Utusan Malaysia

Permintaan tentera AS guna ruang udara Indonesia dikaji

INDONESIA mengkaji secara terperinci permintaan AS menggunakan ruang udaranya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Pertahanan Indonesia kini sedang memperincikan permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan akses ruang udara negara itu bagi penerbangan pesawat tenteranya.

Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin telah mengadakan pertemuan dengan barisan pesara pegawai tinggi Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Jakarta pada Jumaat bagi membincangkan analisis serta permintaan yang dikemukakan oleh Washington.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait memaklumkan bahawa input daripada veteran-veteran tentera tersebut amat penting sebelum perbincangan lanjut dilakukan bersama kementerian berkaitan, agensi kerajaan dan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

“Segala cadangan, analisis malah kritikan akan dipertimbangkan oleh kerajaan dalam menentukan langkah seterusnya berdasarkan kepentingan pertahanan nasional,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Luar, Sugiono mengesahkan bahawa Indonesia sedang meneliti permohonan tersebut namun menegaskan bahawa sebarang keputusan akan memberikan keutamaan mutlak kepada kedaulatan negara dan tanggungjawab melindungi rakyat.

Laporan mengenai permohonan Washington ini mula tular sejurus sebelum lawatan Sjafrie ke Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon di AS pada 13 April lalu bagi menandatangani Perjanjian Kerjasama Pertahanan Utama Indonesia-AS (MDCP).

Draf perjanjian tersebut dilaporkan merangkumi peruntukan yang membenarkan ruang udara Indonesia digunakan untuk operasi kecemasan, tindak balas krisis serta aktiviti latihan yang dipersetujui bersama.

Isu ini mendapat perhatian meluas kerana ramai pihak berpendapat bahawa pemberian akses tersebut boleh melemahkan kawalan Indonesia terhadap ruang udaranya serta menjejaskan kedaulatan negara. 

Langkah tersebut dikhuatiri akan menimbulkan persoalan mengenai pendirian berkecuali Indonesia dalam persaingan antara AS dan China di rantau Indo-Pasifik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN