Bawah 10 saat jadi misi Shah bangkit di Nilai

Bawah 10 saat jadi misi Shah bangkit di Nilai

2026. Pelumba trek lelaki Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika beraksi acara keirin lelaki pusingan pertama pada Kejohanan Trek Piala Dunia di Velodrom Nasional Nilai di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menggalas misi peribadi memburu catatan bawah 10 saat (s) dalam acara pecut individu lelaki pada aksi Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini

Sasaran itu dilihat sebagai penanda kebangkitan sebenar pelumba kelahiran Muar, Johor itu selepas melalui tempoh panjang dibelenggu kecederaan lutut yang menjejaskan prestasinya sepanjang musim 2025.

Walaupun mengakui belum berada pada tahap terbaik, pelumba berusia 31 tahun itu tetap optimis untuk menguji keupayaan sebenar di pentas berintensiti tinggi.

“Sudah tentu saya harapkan dapat kembali ke bawah 10s kerana itu penanda untuk saya bangkit semula.

“Dalam keadaan sekarang, jika dapat bawah 10s, itu sudah cukup memberi keyakinan untuk saya bina semula prestasi,” kata Shah kepada pemberita, semalam.

Semalam, Shah gagal mara ke pusingan kedua acara keirin lelaki selepas menduduki tempat ketiga dalam aksi repechage.

Mengikut format perlumbaan, hanya dua teratas dalam setiap saringan akan mara ke pusingan kedua.

Dalam pada itu, Shah turut menjelaskan penggunaan gear lebih berat buat pertama kali dalam perlumbaan menjadi antara faktor utama yang akan mempengaruhi catatan masanya hari ini.

“Yang penting sekarang saya sudah tidak rasa sakit pada lutut dan itu memberi keyakinan untuk saya mula tekan semula kemampuan sebenar,” katanya.

Aksi pecut hari ini bukan sekadar memburu keputusan, sebaliknya menjadi medan penting buat Shah menilai tahap sebenar prestasinya dalam usaha kembali kompetitif menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN