NILAI: Pelumba endurance wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mahu bangkit menebus kekecewaan dalam acara omnium pada Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.
Aisyah yang pernah beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 kecewa selepas menamatkan saingan penyingkiran di kedudukan ke-21 daripada 23 pelumba dalam aksi final, kelmarin.
Keputusan hambar itu dilihat bukan pengakhiran, sebaliknya menjadi pencetus kebangkitan buat pelumba berusia 29 tahun itu untuk kembali mencabar dalam acara omnium.
Pelumba kelahiran Kemaman, Terengganu itu memasang azam tinggi untuk menembusi pusingan seterusnya, sekali gus menebus maruah yang tercalar di gelanggang sendiri.
“Untuk perlumbaan Ahad ini (hari ini), saya nak cuba layak dan buru slot ke peringkat seterusnya.
“Saya rasa boleh dapat keputusan lebih baik lagi. Saya sendiri tak puas hati, mungkin silap saya juga, tapi saya belajar daripada kesilapan itu,” kata Aisyah.
Menurutnya, kekurangan pengalaman menentang pelumba bertaraf dunia yang dari kategori remaja turut menjadi cabaran utama yang perlu diatasi segera.
“Sebelum ini saya belum pernah berlumba dengan mereka, jadi saya masih menyesuaikan diri dengan corak dan taktikal mereka,” katanya lagi.
Pada aksii penyingkiran kelmarin, pelumba Norway, Anita Yvonne Stenberg meraih pingat emas, manakala Yareli Acevedo Mendoza dari Mexico yang memenangi perak dan gangsa milik Lara Gillespie dari Ireland.- UTUSAN










