Ukraine tetapkan lima syarat rundingan damai dengan Russia - Utusan Malaysia

Ukraine tetapkan lima syarat rundingan damai dengan Russia

VLADIMIR PUTIN - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemimpin Ukraine bersama sekutu kuat Eropahnya yang terdiri daripada United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman telah menetapkan lima syarat utama bagi mencapai persetujuan yang adil serta berterusan untuk menamatkan perang dengan Russia.

Menerusi satu kenyataan bersama selepas mengadakan perbincangan di London, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky; Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Friedrich Merz menegaskan bahawa mereka akan terus berdiri teguh di belakang Ukraine.

Lima syarat yang digariskan itu merangkumi gencatan senjata serta merta, memulakan rundingan berdasarkan kedudukan semasa di medan perang, selain penyediaan jaminan keselamatan yang kukuh buat Ukraine.

Para pemimpin terbabit turut mengulangi kepentingan penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam proses itu.

Ia berlaku semasa fokus Presiden AS, Donald Trump ketika ini dilihat mula beralih kepada konflik peperangan dengan Iran.

Sebelum ini pada Disember tahun lalu, AS pernah mendesak Russia dan Ukraine untuk menandatangani pelan penamatan perang dengan kadar segera yang mana konflik tersebut tercetus ekoran keputusan Presiden Russia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas negara jirannya itu pada Februari 2022.

Sejak kebelakangan ini, kedua-dua pihak yang bertelagah dikesan semakin memperhebatkan serangan antara satu sama lain. Russia terus menggunakan peluru berpandu dan dron untuk menyerang bandar-bandar Ukraine.

Ukraine pula mempamerkan peningkatan keupayaan untuk melancarkan serangan jauh ke dalam wilayah Russia menggunakan teknologi baharu.

Pada Sabtu lalu, dron milik Ukraine dilaporkan berjaya menyerang bandar kedua terbesar Russia, St Petersburg, ketika wilayah itu sedang menganjurkan hari terakhir forum ekonomi utama. 

Serangan berkenaan disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan belum pernah terjadi sebelum ini oleh pihak berkuasa Russia.

Beberapa hari sebelum itu, Kyiv turut menyerang pinggir bandar sama yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Ukraine, ketika forum berprestij anjuran Putin itu baru sahaja bermula.

Tiga kuasa besar Barat yang mengadakan pertemuan di Downing Street No. 10 di London pada Ahad, merupakan kumpulan yang dikenali sebagai E3 dan mereka adalah antara sekutu terkuat Kyiv. 

UK dan Perancis kini menerajui inisiatif gabungan negara yang bersedia untuk memberikan jaminan keselamatan kepada Ukraine sebagai sebahagian daripada sebarang proses damai pada masa hadapan.

Mereka menyambut baik surat daripada Zelensky kepada Putin dan menyokong gesaannya untuk mewujudkan dialog secara langsung antara Ukraine dan Russia dengan penglibatan aktif daripada AS serta Eropah.

Merujuk kepada kedegilan Moscow yang mendesak agar Ukraine melepaskan cita-citanya untuk menyertai pakatan pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mereka menegaskan bahawa hak Ukraine untuk memilih aturan keselamatan dan pakatan ketenteraannya sendiri mestilah dihormati sepenuhnya. – BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN