PETALING JAYA: Pelan kontingensi pemindahan pelaut terutama dari negara ini perlu dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan ekoran laluan Selat Hormuz ketika ini tidak selamat untuk pelayaran dan terdapatnya peningkatan risiko keselamatan.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata, perkara tersebut disampaikan Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Arsenio Dominguez berhubung krisis yang semakin memuncak di Selat Hormuz.
Malah katanya, pelaut Malaysia tidak seharusnya diwajibkan atau didesak untuk melalui kawasan berisiko tinggi yang mampu memberi ancaman terutama berkaitan periuk api, serangan peluru berpandu dan rampasan kapal.
“Kami menyokong sepenuhnya pendirian IMO bahawa Selat Hormuz tidak selamat untuk pelayaran ketika ini. Keselamatan pelaut mesti menjadi keutamaan. Perlindungan terhadap kebajikan dan keselamatan pelaut Malaysia tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Justeru langkah kebajikan perlu diberi perhatian segera termasuk akses kepada sokongan psikologi dan kesihatan mental kru yang berdepan tekanan berpanjangan akibat situasi tersebut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedang berunding dengan Iran bagi memastikan dua kapal tangki milik Malaysia yang membawa bekalan bahan api dibenarkan melepasi sekatan selepas keluar dari Selat Hormuz.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bekata, ia susulan sekatan dihadapi kapal berkenaan walaupun diberi pelepasan melalui selat berkenaan sebelum ini oleh kerajaan Iran, khususnya oleh Presiden negara itu sendiri.
Dalam pada itu, Ikmal Azam Thanaraj berkata, sebuah lagi kapal sebuah kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang digunakan bagi tujuan logistik dan penginapan kru dilaporkan telah berdepan beberapa isu teknikal sebelum tercetusnya konflik semasa.
“Disebabkan isu teknikal yang telah dikenal pasti sebelum ini, pergerakan kapal OSV akan mengambil masa,” jelasnya. – UTUSAN










