Jadual SPM: Beri sedikit 'nafas', bukan tekan pelajar - Utusan Malaysia

Jadual SPM: Beri sedikit ‘nafas’, bukan tekan pelajar

KERATAN akhbar Utusan Malaysia Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjadualan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) perlu diatur sebaik mungkin dan tidak terlalu padat dengan memberi ‘nafas’ kepada pelajar untuk bersedia menjawab kertas seterusnya.

Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, penjadualan peperiksaan juga tidak sepatutnya memberi tekanan dan mengganggu emosi pelajar serta menimbulkan permasalahan di luar jangka, baik sekarang mahupun pada masa akan datang.

Katanya, jadual peperiksaan penting itu perlu disusun sebaik mungkin dengan mengambil kira masalah dan kekangan dihadapi pelajar ketika ini.

“Sepatutnya jadual peperiksaan itu perlu diatur sebaik mungkin, tidak terlalu padat dan tidak terlalu renggang serta mengambil kira pelbagai aspek.

“Beri pelajar ruang bernafas untuk lebih bersedia menjawab kertas soalan seterusnya dan memiliki waktu senggang supaya mental dan fizikal pelajar tidak terbeban. Kita semua perlu menerima hakikat keputusan peperiksaan adalah penentu masa depan dan kerjaya mereka, ” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, ibu bapa dan calon SPM 2021 mahu Kementerian Pendidikan mempertimbanG semula jadual peperiksaan berkenaan kerana dikatakan terlalu padat selain turut diadakan pada Jumaat dan Ahad.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementeriannya akan mengeluarkan jadual peperiksaan baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Sabri Arshad berpandangan, perubahan tarikh peperiksaan SPM dibuat ekoran tempoh pembelajaran yang terlalu singkat.

“Awal tahun kerajaan telah mengisytiharkan darurat. Apabila sekolah dibenarkan beroperasi, kehadiran pelajar tingkatan empat dan lima bergilir-gilir setiap minggu.

“Jadi adalah lebih baik buat masa ini kerajaan kekalkan Mac sebagai tarikh peperiksaan SPM ketika pandemik. Namun perlu dibuat sedikit kelonggaran agar ada ruang beberapa hari untuk pelajar melepaskan tekanan sebaik menghabiskan satu-satu pelajaran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×