PETALING JAYA: Antara jalan penyelesaian yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa bagi menangani isu individu tanpa warganegara adalah melalui penekanan terhadap Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan memberi garis panduan berkenaan kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang.
Katanya, Perkara 14 menyatakan bahawa setiap individu yang lahir di negara pada atau selepas Hari Malaysia, adalah memperoleh kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang jika semasa kelahiran tersebut salah seorang daripada ibu bapa adalah warganegara atau penduduk tetap persekutuan.
“Antara kes yang merujuk kepada Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan ini adalah dalam kes Madhuvita Janjara Augustin (suing through next friend Margaret Louisa Tan) v Augustin al Lourdsamy dan Ors [2018] 1 MLJ 307.
“Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan menerima pakai permohonan kerakyatan melalui Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan setelah semua syarat-syarat di dalam Bahagian II, Jadual Kedua yang dibaca bersama dengan Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh yang demikian, melalui peruntukan undang-undang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan, pihak MHO berpendapat agar isu ini dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa tanpa membelakang dan juga mengabaikan undang-undang di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, beliau berpendapat, penindasan terhadap hak-hak kemanusiaan ke atas individu tanpa warganegara dapat dikurangkan dan diselesaikan dengan adanya jalan penyelesaian ke atas isu kerakyatan.
“Garis panduan dan penelitian yang mendalam adalah diperlukan bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan atau pencabulan ke atas peruntukan Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










