SEREMBAN: Lebih separuh calon DAP yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan dijangka terdiri daripada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, senarai calon untuk Negeri Sembilan akan dimuktamadkan dalam beberapa hari lagi sebelum diumumkan secara berperingkat.
“Saya boleh katakan dalam konteks Negeri Sembilan, lebih separuh calon yang akan bertanding adalah penyandang di kawasan masing-masing, termasuk saya sendiri serta akan buat keputusan tidak lama lagi untuk memuktamadkan senarai pemilihan calon.
“Bagi Johor pula. senarai penuh calon masih belum diserahkan kepada saya selaku Setiausaha Agung jadi saya belum mengetahui jumlah calon penyandang dan muka baharu yang akan diketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skrin Elektronik Lobak di Dataran Lobak di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, pengumuman calon akan dibuat lebih awal untuk memberi ruang kepada mereka membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
Katanya, langkah itu juga membolehkan calon baharu menyesuaikan diri dengan kawasan yang bakal ditandingi serta memperkenalkan diri kepada pengundi.
“Bagi calon baharu pula, mereka perlu menyesuaikan diri dengan kawasan dan memberi gambaran kepada pengundi mengenai siapa calon yang akan mewakili parti,” katanya lagi.
Siew Fook menambah, beliau yakin sebarang pertukaran calon di Negeri Sembilan dapat diuruskan dengan baik kerana semangat perpaduan dan kesetiaan kepada parti telah lama diterapkan dalam DAP negeri ini.
Katanya, penyandang yang tidak terpilih pula perlu memberi sokongan penuh kepada calon baharu demi memastikan kesinambungan perjuangan parti dan kemenangan di kawasan masing-masing.
“Itu merupakan proses yang matang dan perlu dilaksanakan bagi memastikan kekuatan serta perpaduan parti terus terpelihara,” katanya.
Mengulas peningkatan jumlah parti yang dijangka bertanding pada PRN kali ini, Anthony Loke berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada proses demokrasi namun beliau yakin pengundi akan menilai prestasi parti dan wakil rakyat yang telah berkhidmat sebelum membuat keputusan.
“Dalam demokrasi, mana-mana parti atau calon berhak untuk bertanding. Namun saya yakin rakyat tahu menilai, terutama berdasarkan prestasi dan rekod perkhidmatan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.-UTUSAN.










