Separuh graduan UK raih gaji bawah purata selepas lima tahun bekerja - Utusan Malaysia

Separuh graduan UK raih gaji bawah purata selepas lima tahun bekerja

PELAJAR bergambar selepas menerima ijazah di Universiti Bolton. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Separuh daripada ke­seluruhan graduan universiti dilaporkan meraih pendapatan di bawah paras purata gaji nasional meskipun selepas lima tahun menamatkan pengajian, demikian amaran yang dike­luarkan menerusi satu laporan baharu yang mengejutkan.

Dapatan tersebut mendedahkan bahawa lebih 150,000 gra­duan setahun bergelut semata-mata untuk mencapai paras gaji median pekerja sepenuh masa di United Kingdom (UK) iaitu sebanyak £35,000 (RM189,690) setahun.

Lebih membimbangkan, ana­lisis yang dijalankan oleh badan pemikir Policy Exchange itu turut mendedahkan sebanyak 11 peratus graduan sekadar memperoleh pekerjaan dengan pendapatan kurang £24,000 (RM130,067) da­lam tempoh yang sama.

Selain itu, laporan ber­kenaan mendapati hanya 57 peratus graduan berjaya mendapat pe­kerjaan sepenuh masa dalam tempoh 15 bulan selepas mening­galkan menara gading.

Situasi ini menjadi bukti terbaharu kepada fenomena ‘kejatuhan’ nilai premium universiti iaitu unjuran tambahan pendapatan sepanjang hayat yang sepatutnya dinikmati oleh golongan graduan berbanding mereka yang tidak melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Susulan perkembangan itu, pelbagai pihak mula mendesak agar tindakan ‘memperdaya’ golongan muda untuk mengambil kursus atau ijazah yang menjerat mereka dengan hutang dihentikan segera.

Ini memandangkan purata penuntut universiti ketika ini terpaksa menanggung bebanan hutang pengajian yang mencecah sehingga £50,000 (RM270,963).

Krisis ini dijangka menjadi lebih parah ekoran amaran pakar ekonomi bahawa pasaran buruh akan terus merosot akibat kos tinggi yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Parti Buruh, sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi semasa.

Malah, satu tinjauan pendapat umum terbaharu mendapati satu pertiga daripada rakyat Britain kini menganggap pelaburan masa dan wang untuk ke universiti adalah sesuatu yang tidak lagi berbaloi. Jumlah tersebut menunjukkan pe­ningkatan sekali ganda berban­ding data yang direkodkan dua dekad lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN