PETALING JAYA: Dunia kini tidak berdepan kekurangan kuasa, sebaliknya kehilangan hala tuju yang jelas dalam aspek kepimpinan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia memerlukan bentuk kerjasama global yang baharu bagi mendepani cabaran geopolitik yang semakin kompleks.
Katanya, kepimpinan berkesan memerlukan hala tuju yang jelas terutamanya dalam mendepani ketidaktentuan global.
“Pelaut zaman dahulu tidak dapat meramalkan kedatangan ribut. Mereka tidak dapat mengawal arus dan mereka juga tidak dapat melihat apa yang berada di sebalik setiap ufuk. Apa yang mereka miliki ialah deria arah yang jelas,” katanya berucap pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, Jepun hari ini.
Anwar berkata, institusi perlu diperbaharui dan direformasikan bukannya diabaikan, manakala kerjasama perlu mengatasi perpecahan serta kepimpinan memerlukan inisiatif dan bukannya melepaskan tanggungjawab.
“Jika kita terus berpegang kepada prinsip-prinsip ini, saya benar-benar percaya bahawa kita boleh mengubah cabaran hari ini menjadi peluang untuk hari esok,” katanya.
Ucapan Anwar itu merupakan pembentangan pertama dalam agenda Persidangan yang membawa tema Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia. – UTUSAN










