SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan tetap akan bertanding menggunakan platform Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang walaupun parti komponen gabungan itu, Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.
Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, ini kerana kemenangan kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRN lalu adalah dengan menggunakan tiket PN.
Dengan kemenangan itu, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu, para pengundi telah memberi kepercayaan dan tanggungjawab kepada PN sebagai wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sokongan mereka ini sepatutnya diberi perhatian oleh PN dan menjadi pertimbangan kepada gabungan ini untuk mengharungi PRN tidak lama lagi.
“Pada masa sama keputusan Pas itu agak mengelirukan kerana dikatakan memutuskan hubungan politik dengan Bersatu tetapi masih bersama dalam PN yang turut disertai kami,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sebagai rekod, PN Negeri Sembilan menyandang lima kerusi DUN di negeri ini iaitu tiga daripada Pas dan dua lagi daripada Bersatu.
Mohamad Hanifah dalam pada itu mengingatkan, tindakan Pas itu boleh mengecewakan harapan para pengundi yang melihat PN sebagai satu gabungan parti politik yang mampu menjadi kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.
“Terdapat tanda-tanda yang jelas bahawa gabungan ini semakin mendapat sokongan daripada setiap peringkat masyarakat dan kepercayaan ini tidak sepatutnya disia-siakan,” ujarnya.
Beliau berharap segala masalah yang berbangkit dapat diselesaikan melalui jalan perbincangan yang menjadi kekuatan gabungan tersebut serta menepati aspirasi perpaduan ummah seperti yang dilaung-laungkan selama ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd. Fairuz Mohd. Isa berkata, setakat ini belum ada ketetapan mengenai sama ada Pas akan menggunakan lambang atau bertanding atas tiket PN atau sebaliknya ketika PRN kelak.
Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dibincangkan oleh kepemimpinan Pas di peringkat Pusat.
“Malam tadi (kelmarin) hanya dibincangkan tentang hal berkaitan Bersatu. Tidak semua benda dibincangkan malam tadi tetapi kami fokus untuk bincang perkara lebih besar.
“Perkara berkenaan PRN dan berkaitan logo akan dibincangkan kemudian oleh kepimpinan tertinggi Pas pada mesyuarat akan datang dan kami di peringkat negeri akan mengikut keputusan yang diputuskan oleh pusat,” katanya.-UTUSAN.










