PETALING JAYA: Industri perhotelan tempatan kini menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal sehingga menjejaskan operasi sejak sektor itu dibuka semula kepada orang ramai pada 11 Oktober lalu.
Hal ini berlaku kerana ramai pekerja hotel yang terjejas didapati beralih ke bidang lain sepanjang tempoh pandemik sejak awal tahun lalu dan enggan kembali ke sektor itu.
Kekurangan pekerja menyebabkan pihak hotel tidak sempat menyediakan bilik mengikut tempoh yang ditetapkan, tempahan bilik melalui pihak ketiga yang tidak selari dengan hotel selain berlaku beberapa masalah teknikal lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, masalah itu berlaku di seluruh dunia dan tidak hanya di negara ini.
“Rata-rata kakitangan sudah tidak berminat untuk kembali kerana khuatir masa depan yang tidak tentu, malah ada di antara mereka sudah selesa bekerja di dalam industri lain yang memberi kerja tetap serta cuti pada hujung minggu.
“Walaupun kadar gaji untuk pekerja part-time (sambilan) sudah meningkat ke RM14 sejam, ia masih tidak dapat menarik minat mereka yang lebih memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan seperti Grab atau FoodPanda,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas mengenai rungutan pelanggan yang tular dalam media sosial mengenai kelewatan perkhidmatan di sebuah hotel di Pahang.
Kejadian itu juga tular di aplikasi TikTok yang turut menunjukkan pengunjung terpaksa menunggu sehingga tujuh jam kerana bilik yang sudah ditempah oleh mereka tidak tersedia pada waktu yang sepatutnya.
Ditanya mengenai masalah yang timbul itu, Lip Seng menjawab, kegagalan pihak pengurusan untuk menyelaraskan persiapan bilik juga menyumbang kepada masalah berkenaan.
Tambahnya, pihaknya dimaklumkan setiap eksekutif dari pelbagai jabatan turut membantu dalam perkhidmatan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh tetamu termasuk dengan pembersihan bilik.
Keadaan itu katanya, dijangka berterusan sehingga dua tahun kerana hotel kekurangan tenaga kerja.
Sementara itu, sektor perhotelan di Pulau Pinang menghadapi kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang serius sehingga mengakibatkan berlaku masalah kelewatan pelanggan mendapat tempahan bilik masing-masing selepas rentas negeri dibenarkan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, pihaknya menganggarkan setiap hotel kekurangan 30 hingga 40 peratus kakitangan bagi sektor 3D disebabkan pandemik Covid-19.
Katanya, ramai pekerja hotel beralih arah ke bidang perkilangan selepas industri perhotelan dan pelancongan terjejas dengan teruk ketika pandemik melanda negara hampir dua tahun lalu.
“Ketika ini paling kritikal ialah pekerja 3D di bahagian pembersihan bilik di hotel, orang tempatan tidak mahu bekerja dalam bahagian ini, banyak hotel alami kekurangan pekerja selepas Covid-19 melanda.
“Perkara ini semakin meruncing selepas rentas negeri dibenarkan dan pelanggan datang serentak ke hotel sehingga menyebabkan berlaku kelewatan untuk mereka mendapatkan tempahan bilik masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Raj Kumar, pada masa ini tiada pekerja warga asing bagi sektor 3D yang dibekalkan oleh ejen-ejen untuk sektor perhotelan memandangkan kebanyakan daripada mereka telah bekerja di sektor lain.
“Ini juga salah satu punca mengapa hotel kurang kakitangan, dahulu banyak hotel mendapat pekerja tambahan yang terdiri daripada warga asing daripada ejen-ejen.
“Sekarang pekerja tambahan ini tidak dapat lagi dibekalkan kerana mereka telah bekerja di bidang lain terutama sektor perkilangan dan perladangan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, bagi mengatasi masalah berkenanaan, kebanyakan hotel tidak membuka semua bilik di hotel masing-masing untuk ditempah pelanggan.
“Kalau mereka (hotel) ada 100 bilik, sekarang ini mereka hanya buka 70 bilik sahaja untuk ditempah, ini yang banyak hotel praktik sekarang bagi mengelakkan berlaku masalah kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN











