Guna PLKS palsu : Pemilik kedai komputer warga Bangladesh ditahan - Utusan Malaysia

Guna PLKS palsu : Pemilik kedai komputer warga Bangladesh ditahan

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang pemilik kedai komputer warga Bangladesh ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur melalui sindiket ID Hack. 

Penahanan suspek berusia 30 tahun itu dilakukan menerusi satu operasi penguatkuasaan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM di sebuah Kondominium mewah di ibu negara pada 3 November lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, turut ditahan ialah isteri suspek yang juga warganegara Indonesia berusia 44 tahun.

kata beliau, suspek merupakan kan pemborong dan penjual barangan komputer di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur dengan hanya menggunakan PLKS palsu.

“Suspek juga mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan tersebut selain turut menyewa sebuah kondominium mewah sebagai kediaman.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati suspek turut menyamar sebagai warganegara Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Khairul Dzaimee, lelaki berkenaan juga dikenali sebagai ‘Ali’ dalam kalangan warganegara Pakistan dan sebagai ‘Munsi Jewel’ oleh warganegara Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur. 

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman yang dihuni oleh suspek dan isteri,” jelasnya.

Tambah Khairul Dzaimee, operasi penguatkuasaan ini adalah merupakan siri operasi ‘Op ID Hack’ bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan ini yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu dari sindiket ID Hack.

“Kedua-dua mereka kini ditahan kerana melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 15/63 (Akta 155) dan di bawah Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 51(3) Akta yang sama. 

“Mereka akan ditahan di depoh tahanan Imigresen, Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN